Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JUN 2019.

SERDANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan senarai nama anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh minggu depan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun jemaah menteri bersetuju dengan senarai tersebut namun pihaknya perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak yang dinamakan terlebih dahulu.

“Saya sudah bawa makluman kepada jemaah menteri dan mereka juga sudah bersetuju. Kita sudah menyenaraikan nama-nama siapa yang akan menjadi anggota pasukan petugas itu.

“Kita hendak tentukan mereka ini mesti orang-orang yang inpatial selain daripada mempunyai kelayakan yang diperlukan supaya tidak ada lagi hasil laporan itu besok dikatakan berat sebelah atau nak melindungi, itu penting.

“Dalam tempoh seminggu ini saya akan umumkan, bila mereka sudah bersetuju daripada tarikh itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia  hari ini.

Muhyiddin juga berkata, pasukan itu diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan laporan mengenai kehilangan dua individu berkenaan yang akan diserahkan kepada jemaah menteri.

“Kita sudah sediakan terma dan rujukan apa yang harus dilakukan berdasarkan laporan itu dan tempoh masa yang kita fikir sesuai enam bulan.

“Bila enam bulan, kita harap pasukan ini siapkan laporan itu dan nanti laporan itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri,” katanya lagi.

Muhyiddin turut berkata, pihaknya tidak mahu mendahului mahkamah dan laporan itu hanya boleh dibentangkan selepas keputusan dibuat susulan perbicaraan kes terbabit masih berjalan.

“Kes Pastor Koh itu ada di mahkamah kerana berlaku awal dulu ada seorang mereka terbabit dibawa ke mahkamah dibicarakan.

“Kalau ada pasukan petugas pun, perkara itu mungkin perlu dikemudiankan, kes Amri Che Mat didahulukan.

“Selepas selesai, mahkamah buat apa-apa keputusan baru kita meneruskan kedudukan Pastor Koh, kalau tidak nanti jadi penghinaan mahkamah. Perkara itu saya fikir anggota keluarga perlu tahu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette