Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini menafikan timbalannya, Teo Nie Ching, cuba mencampuri urusan silibus Pendidikan Islam.
Menurutnya, Teo hanya berkongsikan usaha yang dijalankan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang sedang menjalankan tinjauan berkaitan cadangan menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam.
“Survey (tinjauan) tersebut telah dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) dan kemudian timbalan menteri telah kongsikan di media sosial beliau.
“Lalu ada orang yang telah snap gambar tersebut dan timbulkan isu kononnnya timbalan menteri nak campur tangan dalam silibus Pendidikan Islam, itu tidak benar,” katanya kepada media pada majlis jalinan mesra Menteri Pendidikan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai hantaran Teo dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).
PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.
MPPK dalam satu kenyataan pada Selasa (18 Jun) berkata PPKPI melaksanakan tinjauan dalam talian bagi melihat pandangan yang relevan dan sesuai untuk diambil kira bagi meningkatkan kualiti mata pelajaran Pendidikan Islam.
Maszlee berkata tidak timbul isu Teo mengumumkan perkara tersebut kepada umum atau dilihat mendahului dirinya memandangkan inisiatif MPPK itu telah diumumkan di laman web KPM terlebih dahulu sebelum dikongsikan oleh Teo di media sosialnya.
“Ia merupakan projek MPPK bukan projek timbalan menteri,” katanya.– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast