Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz atas dakwaan memfitnah.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, sepatutnya Mohamed Azmin perlu mengambil tindakan tersebut bagi membersihkan nama Timbalan Presiden PKR itu yang dikaitkan dengan video lucah.

“Kenapa Azmin tidak saman sahaja Haziq yang kaitkan namanya dengan video lucah melibatkan mereka berdua. Azmin kena tegas ambil tindakan undang-undang kerana beliau adalah Timbalan Presiden, orang nombor dua dalam PKR, beliau kena tegas,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF11042017_IKSIM02
Dr Kamarul Zaman Yusuff

Malah menurut penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, tindakan berdiam diri tidak membuka jalan penyelesaian dan namanya semakin busuk di peringkat akar umbi.

“Tindakan berdiam diri dan serah kepada siasatan polis menunjukkan beliau seperti bersalah. Sudah dua minggu isu ini bermain di kalangan ahli-ahli PKR, dia kena bertindak pantas.

“Nama dia sudah terpalit dengan tuduhan seks sejenis, takkan nak tunggu lagi. Ini tuduhan berat,” kata beliau.

Awal hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, Mohamed Azmin perlu mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Haziq memandangkan ia adalah tuduhan berat dan beliau sendiri telah membuat pengakuan bahawa dia adalah individu di dalam video berkenaan.

Pada 12 Jun lalu, tiga klip video lucah memaparkan lelaki mirip Mohamed Azmjn menggemparkan negara.

Ia semakin mengejutkan apabila Haziq tampil mengaku dirinya adalah individu dalam klip video seks lucah yang tular itu.

Haziq turut mendakwa Mohamed Azmin sebagai individu bersamanya dalam klip video yang menurutnya dirakam pada 11 Mei lalu di Sandakan, Sabah.

Mohamed Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. – MalaysiaGazette