PUTRAJAYA – Tiga syarikat korporat terkenal disenaraikan antara 41 responden yang disaman lucut harta bernilai RM270 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Jakel Trading, Habib Jewels Sdn. Bhd. dan Naza Quest Auto Sdn. Bhd. akan disaman lucut harta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Selain tiga syarikat itu, responden lain adalah UMNO Bahagian Pekan dan Johor Bahru, Wanita MCA, Badan Perhubungan UMNO seperti Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan, Johor dan Sabah serta Parti Bersatu Rakyat Sabah.
Individu yang terlibat pula adalah Tan Sri Kasitan Gadam, Datuk Seri Hassan Malek, Datuk Abdul Manan Ismail dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.
Turut disaman adalah Yayasan Permata Malaysia, Yayasan Rahah, Yayasan Tun Hussein Onn, Akademi Pemuda dan PEKIDA.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, sebanyak dua individu sebelum ini secara sukarela memulangkan semula wang dari dana 1MDB itu.
Beliau berkata, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka yang secara sukarela menyerahkan semula wang yang diterima dari dana 1MDB tidak akan didakwa selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. – MalaysiaGazette