KUALA LUMPUR – Kumpulan Naza (Naza) sedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan pemfailan permohonan lucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diumumkan hari ini.
Syarikat korporat itu dalam satu kenyataan berkata, anak syarikatnya iaitu Naza Quest Auto Sdn. Bhd. telah tersenarai sebagai satu daripada 41 individu dan entiti bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Naza menjelaskan, permohonan lucut hak daripada SPRM melibatkan proses pembelian kenderaan pada tahun 2012 dan 2013.
“Naza Quest Auto iaitu anak syarikat Kumpulan Naza adalah pengedar tunggal bagi kereta jenama Chevrolet di bawah perjanjian dengan General Motors. Perjanjian berkenaan tamat pada 14 November 2018.
“Pemfailan permohonan lucut hak SPRM adalah melibatkan dua transaksi iaitu berjumlah RM105,000 pada 17 Disember 2012 bagi pembelian dua kereta Chevrolet dan RM164,662 pada 9 Disember 2013 bagi pembelian dua lagi kereta jenama sama,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang media hari ini memberitahu agensi itu telah berjaya memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang yang mengalir keluar dari salah guna dana kes 1MDB bernilai RM270 juta.
Menurut beliau, pihaknya telah menyenaraikan 41 individu dan entiti yang menjadi responden kepada permohonan tersebut di mana kes saman akan bermula 25 Jun ini.
“Apa berlaku, kita akan mendapatkan semula lebih RM270 juta dari wang yang diberikan kepada pelbagai individu termasuk pihak UMNO bahagian, yayasan dan syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/21/kes-1mdb-jakel-habib-jewels-naza-quest-auto-disaman-sprm/