Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Rakyat ketika ini sedang menyaksikan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, kerajaan yang sudah berusia setahun itu masih gagal mengemukakan idea dan gagasan bernegara mengikut acuan Islam sebenar.

Terlalu panjang katanya, untuk disenaraikan kelemahan kerajaan PH yang hanya tahu menyalahkan pihak lain atau menjenama dan menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang sebelum ini mereka kritik.

“Perbuatan dan sikap mereka itu menyebabkan ada yang menggelar PH sebagai Kerajaan Kakistokrasi, kerajaan yang lemah dan tidak boleh diharap.

“Cukuplah rakyat menilai pembohongan PH terhadap janji manifesto yang belum tertunai, penipuan ijazah akademik di kalangan menteri, kebisuan terhadap pihak yang menghina kesucian Islam dan Baginda Nabi Muhammad.

“Mereka juga gagal menguruskan ekonomi bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan mengurangkan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat,” katanya dalam ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat di Kuantan, hari ini.

Justeru, Abdul Hadi menyeru rakyat pelbagai kaum di negara ini memberi peluang kepada Pas dan Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan kerajaan sedia ada sekarang.

Katanya, kaum bukan beragama Islam tidak perlu merasa khuatir dengan pemerintahan Pas-BN kerana adanya jaminan keadilan dan hak mengikut al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan parti itu.

Sebaliknya, ujar beliau, kalau aspek itu diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya sekali.

“Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

“Begitu juga ada kalangan orang Islam yang kehilangan jati diri Islam dan kebangsaan turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini.

“Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya kerana wujud berbagai bangsa dan bahasa adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Katanya, Pas menegaskan Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua.

Justeru, agenda terpenting dalam politik negara adalah menghidupkan semangat federalisme yang terkandung dalam Perlembagaan, memperkasakan kedudukan Islam mengikut takrif Islam yang sebenar serta mengangkat keupayaan Bumiputera dan masyarakat majmuk.

“Walaupun hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera disebut, tetapi tetap haram menindas hak kaum lain yang miskin dan memerlukan,” katanya.

Berkaitan ekonomi, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus perlahan bagi tahun 2019 sehingga 2020.

Ini katanya, disumbangkan oleh kelemahan permintaan dalam negeri dan ketidaktentuan ekonomi dunia dan negara berdepan dengan situasi kelembapan.

“Kerajaan PH dilihat masih gagal untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi negara dengan mengambil kira peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup rakyat yang terus meningkat dan kuasa beli yang lemah.

“Kita beristiqamah untuk membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’ yang berteraskan perkongsian ekonomi yang adil untuk semua, berbeza dengan konsep Negara Kebajikan yang sempit.

“Antara langkah yang perlu diambil bagi membaiki kedudukan ekonomi negara adalah membetulkan falsafah ekonomi kepada yang lebih adil dan memakmurkan kehidupan, sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast