KUALA LUMPUR – Pelakon Siti Elizad Sharifuddin, 35, mendedahkan sedang mengambil pil kesuburan dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata.
Atas nasihat doktor, Elizad tidak lagi membuat rawatan kecantikan sejak setahun lalu demi mengelakkan proses mendapatkan anak terganggu.
Beliau juga memaklumkan masih belum mencuba teknik rawatan IVF (in-vitro fertilization) meskipun sangat teringin untuk hamil pada tahun ini.
“Tipulah kalau saya kata saya tidak buat rawatan kecantikan seperti menghilangkan kedut, tetapi semua itu saya dah berhenti buat sejak setahun lalu kerana boleh ganggu proses untuk mendapatkan anak.
“Sekarang saya ambil pil kesuburan mengikut nasihat doktor dan langkah terakhir yang akan diambil sekiranya semua proses yang dilakukan tidak berjaya ialah rawatan IVF (in-vitro fertilization).
“Kalau saya buat IVF, pasti saya akan kongsi kerana mahu wanita yang susah hamil seperti saya jangan bersedih dan sentiasa positif serta akan berkongsi informasi untuk manfaat bersama. Tahun ini saya nak sangat hamil, rasa seronok tengok kawan-kawan hamil,” katanya.
Beliau turut mengambil kira nasihat orang sekeliling untuk mendapatkan zuriat sendiri sekiranya boleh memberi manfaat.
“Saya terbuka kepada nasihat semua pihak yang tidak putus-putus memberikan tips dan sebagainya. Saya pun cuba kaedah tradisional seperti berurut memandangkan saya susah lekat,” katanya.
Dalam pada itu Elizad kini dipilih sebagai hos program Mingguan Wanita yang akan bersiaran mula 8 Julai ini, jam 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – MalaysiaGazette