Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri MAIWP bersama 500 anak yatim termasuk Cina dan India di Kompleks Mitec, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) belum lagi memanggil Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang dikaitkan dengan penularan empat video lucah, baru-baru ini.

Sebelum ini, aduan qazaf  telah dibuat Setiausaha Politik Azmin, Muhamad Hilman Idham di Jawi, Putrajaya.

“Belum panggil lagi (kedua-dua individu tersebut).

“Saya tidak mempunyai maklumat selepas daripada permohonan itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kepada media.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Mujahid turut mengesahkan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah menerima aduan qazaf sama.

“Kita ada terima (aduan qazaf di Sabah) cuma perkembangan terkini belum ada. Belum ada apa-apa lagi di pihak saya,” katanya lagi.

Selain Jawi dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Mujahid berkata,  beberapa negeri lain turut menerima laporan qazaf berhubung kes video intim yang tular sejak minggu lalu.

Ia susulan pengakuan Haziq sebagai individu bersama seorang mirip menteri Kabinet dalam video intim yang tersebar.

Menurut Mujahid, siasatan akan dilakukan mengikut bidang kuasa agama negeri berdasarkan lokasi di mana perbuatan itu dilakukan.

Sebelum ini, Mujahid berkata, Jawi mempunyai prosedur bagi memanggil kedua-dua pelaku dalam video lucah berkenaan.

Pada 12 Jun lalu, Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, tampil mengaku dirinya salah seorang individu dalam klip video seks lucah yang tular serta mendakwa individu bersamanya adalah Azmin.

Haziq mendakwa klip video seks itu dirakam pada 11 Mei lalu, iaitu pada hari Pilihan Raya Kecil Sandakan.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia percubaan memusnahkan kerjaya politiknya. -MalaysiaGazette