Jururawat, Siti Nur Syafiqa Radin Ali memeriksa peralatan bagi menderma darah pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Tiga lagi makmal ujian Nucleic Acid Testing (NAT) sedang dibangunkan Kementerian Kesihatan di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, Pusat Darah Negara ada makmal tersebut.

Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penambahan itu sejajar dengan status Malaysia mengamalkan sistem pendermaan darah secara sukarela 100 peratus.

Lantaran itu, kementerian komited meningkatkan keselamatan dan kualiti darah yang telah diderma, selari dengan pelan strategik kementerian untuk meningkatkan keselamatan pesakit.

Katanya, Hospital Kota Kinabalu, dan Hospital Kuching dan Hospital Alor Setar adalah tiga hospital yang akan dibangunkan sistem NAT ini sebagai langkah perkhidmatan perubatan transfusi, memastikan darah yang dibekalkan kepada pesakit selamat dan berkualiti melalui ujian berkenaan.

“Menerusi ujian NAT, ia dapat membantu mengesan jangkitan seperti HIV, HBV dan HCV di peringkat lebih awal melalui pengesanan kehadiran virus DNA seterusnya memberhentikan penyebaran virus tersebut melalui pemindahan darah.

“Namun mereka yang terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi dinasihati agar tidak menderma darah semata mata untuk mengetahui status darah mereka,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin.

Beliau menyempurnakan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun 2019 yang dihadiri lebih 500 kakitangan PDN dan orang awam sejak pagi lagi.

Tambah beliau, setakat semalam 21 Jun, Pusat Darah Negara mempunyai stok 3,667 beg darah untuk tujuh hari keperluan minimum dan pada tahap yang selamat.

“Kita mempunyai sistem yang akan memberi notifikasi jika bekalan beg darah dikesan kurang setiap tiga hari.

“Tidak dapat dinafikan beberapa kawasan kekurangan bekalan darah berkemungkinan disebabkan musim cuti sekolah dan sambutan Aifilfitri tetapi kita ada beberapa standard prosedur operasi yang boleh dilaksanakan untuk memastikan penderma darah tampil menderma.

“Kita mempergiatkan aktiviti dan kempen menderma darah dan sebagainya sebagai langkah mempromosi dan menyokong mengisi bekalan darah yang diperlukan,” kata beliau.

Bagi memastikan proses pendermaan, pemprosesan darah dan penggunaan darah di hospital adalah selamat, kata Dzulkefly, Pusat Darah Negara telah membangunkan sistem Teknologi Komunikasi Maklumat(ICT) dikenali sebagai Sistem Maklumat Bank Darah Versi 2(BBISV2) menggantikan sistem sedia ada.

“Ia merupakan sistem yang berasaskan Cloud (sistem awan) mempunyai ciri ciri kemasukan data secara dalam talian dan penghasilan laporan secara langsung waktu tepat.

“Sistem berkenaan sangat penting memastikan ketepatan maklumat dan data para penderma serta pesakit, selain membantu menyimpan rekod data penderma darah dengan baik dan mempertingkatkan susur galur kawalan rekod (mudah dikesan) dipertingkatkan.

“Ia sekali gus akan memperkukuhkan keselamatan data penderma darah, kerahsiaan serta akauntabiliti,” katanya.

Ujarnya, pelaksanaan projek versi kedua itu telahpun dimulakan di PDN akhir tahun lepas dan sistem berjalan dengan lancar dan diguna pakai sepenuhnya tanpa sebarang masalah.

Fasa awal perluasan sistem berkenaan berjaya dihubungkan terus (Go Live) di enam hospital kerajaan dan akan diperluaskan kepada 15 tabung darah lain dan dijangka selesai sepenuhnya pada suku keempat 2019.

Enam hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Hospital Sultanah Nur Zahirah KUala Terengganu, Hospital Ahmad Shah Temerloh, Sultanah Aminah johor dan Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat.

“Dengan adanya sistem BBISV2 ini, penggunaan maklumat, teknologi komunikasi dalam perkhidmatan perubatan transfusi darah akan dipertingkatkan dan kualitinya juga terjamin secara keseluruhan,” tegas beliau.