Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembah Pantai di Kompleks Sukan Pantai Eco Park, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya kepada integriti dan sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa terhadap sebarang siasatan termasuklah kes penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut beliau, tindakan Azmin yang duduk semeja dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara, Tommy Thomas di rumah terbuka Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tidak salah kerana ia adalah majlis rasmi yang dihadiri beberapa menteri Kabinet.

“Bagi saya tidak ada masalah bangkitkan soal Azmin duduk semeja, itu majlis rasmi dan saya tidak fikir itu masalah.

“Saya masih percaya kepada profesional dan integriti polis untuk buat siasatan tanpa dipengaruhi,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, di Kompleks Sukan Pantai Eko Park, semalam.

Anwar menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail yang mempertikaikan tindakan Azmin yang duduk semeja dengan ketua pihak berkuasa pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu mendedahkan kesemua perjanjian yang telah dicapai oleh kedua-dua mereka.

Jelas beliau, cukuplah segala persefahaman yang dicapai dalam setiap pertemuan yang dibuat oleh mereka berdua.

“Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir, dan benda ini selesai. Nak korek ajak gaduh tu nak buat apa.

“Kamu tidak boleh anggap minta seorang penyandang Perdana Menteri untuk beritahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa.

“Tapi memadai kita ulang kenyataan dan kesefahaman yang dia bincang terus dengan saya setiap minggu,” katanya lagi.

Semalam, Dr Mahathir dalam satu program ‘The Future of Malaysia and ASEAN’ di Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN Bloomberg ke-5 di Bangkok bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri apabila tiba masanya nanti.

Pemimpin berumur 93 tahun itu berkata, memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepemimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan, seperti yang dilakukan oleh kepemimpinan sebelum ini.

“Jadi saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi (dari kerajaan sebelum ini),” katanya.

Dr Mahathir turut mengulangi kenyataan bahawa beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepemimpinan negara kepada Anwar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast