Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor yang menjejaskan beberapa sekolah dan pelajar ketika ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid berharap, kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin dengan kerjasama semua agensi terlibat agar tragedi pencemaran di Sungai Kim Kim tidak berulang lagi.

“Memandang tragedi ini kali kedua berlaku di Pasir Gudang, saya menggesa kerajaan memberikan pendedahan awal secara holistik kepada sekolah sekiranya berlaku sebarang bencana sama ada pencemaran air atau udara sebagai langkah kesiapsiagaan.

“Lebih mendukacitakan lagi pencemaran udara dikatakan berpunca dari sisa kimia Sungai Kim Kim yang tidak dilupuskan 100 peratus tiga bulan lalu seperti mana kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, pelajar di lapan sekolah di Pasir Gudang, dipercayai turut mengalami insiden muntah dan sesak nafas.

Antara sekolah yang dipercayai terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2 dan SMK BANDar Seri Alam.

Tinjauan Bernama melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan ambulans antaranya dari Hospital Sultan Ismail dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikejarkan ke sekolah berkenaan, untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Menurut Tuan Che Alias, apakah jaminan kerajaan bagi memastikan pencemaran di Sungai Kim Kim akibat sisa kimia benar-benar dihapuskan 100 peratus?

“Saya menggesa kerajaan membersih dan menghapuskan sisa kimia yang masih berbaki di Sungai Kim Kim dengan segera bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan lain.

“Malahan, kerajaan juga harus mengambil langkah pencegahan yang efektif sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang supaya tragedi seperti ini tidak berlaku lagi, selain penguatkuasaan dan pemantauan yang ketat,” katanya. – MalaysiaGazette