KUALA LUMPUR – Program bual bicara Mingguan Wanita tampil serba baharu untuk musim keduanya di Astro Prima dan Prima HD, bermula Julai ini apabila menampilkan lima selebriti popular tanah air.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh kerjasama strategik Karangkraf menerusi Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. masih mengekalkan kandungan format asal tetapi mengetengahkan topik dan perkongsian yang lebih terkini.
“Selebriti punyai pengaruh yang kuat berbanding selebriti media sosial dan tidak dinafikan atas sebab itu kita menampilkan barisan selebriti popular untuk musim baharu ini.
“Untuk musim ini, kami akan mengupas isu secara menyeluruh termasuk daripada aspek kecantikan, kesihatan, pelancongan, kemasyarakatan dan juga gaya hidup,” katanya pada majlis pelancaran musim baharu Mingguan Wanita yang berlangsung di The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lima selebriti yang dipertanggungjawab mengendalikan Mingguan Wanita selaku hos bersama ialah Siti Elizad, Erra Fazira, Sherry Alhadad, Norman Hakim dan Radin Amir.
Tiga pakar turut sama mengendalikan segmen masing-masing adalah Datuk Fadzilah Kamsah, Profesor Dr Muhaya dan Imam Muda Asyraf.
Kesemua mereka akan digandingkan secara bergilir-gilir setiap episod yang bakal membincangkan topik harian antaranya kesihatan, kecantikan, kemasyarakatan, gaya hidup, makanan serta travelog.
Sementara itu, Elizad yang diberi peranan sebagai hos pada setiap hari mengatakan pengacaraan merupakan satu cabang seni yang cukup diminatinya selain daripada lakonan.
“Saya akan bersiaran pada setiap hari ditemani rakan penyampai yang berlainan. Saya suka dengan pengisian program ini dan sudah pastinya saya akan cuba memberikan yang terbaik,” ujarnya yang cukup teruja dengan kerja baharunya itu.
Pada setiap Isnin, Elizad akan bergandingan dengan Erra untuk mengulas topik berkaitan Kesihatan dan Kecantikan manakala pada setiap hari Selasa, Elizad dan Radin akan berbicara mengenai isu Kemasyarakatan dan Gaya Hidup.
Setiap hari Rabu, Elizad akan ditemani Sherry untuk mengupas topik berkaitan Makanan & Travelog. Untuk setiap hari Khamis, Elizad dan Norman akan membawa penonton mendalami topik Cerita Dalam Kain mengenai hal-hal rumah tangga.
Pada hari Jumaat pula, segmen Motivasi, Inspirasi & Kerohanian pula akan dikendalikan Elizad secara bergilir-gilir bersama Fadzillah, Dr. Muhaya dan Asyraf.
Sementara itu, siaran langsung Mingguan Wanita akan berdurasi selama 60 minit, 155 episod dan bakal bersiaran secara eksklusif setiap Isnin hingga Jumaat, jam 11 pagi bermula 8 Julai ini di saluran Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
Untuk pilihan yang fleksibel, program ini boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand. – MalaysiaGazette