KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti mendedahkan rahsia dapat mengekalkan kejelitaan wajah dan awet muda dengan mengambil suntikan DNA ikan salmon.
Penghibur yang mesra disapa KD itu memberitahu rawatan tersebut merupakan salah satu rahsia kecantikannya dan ia diambil bagi tujuan mencerahkan kulit wajah.
“Tubuh manusia bukan hanya memerlukan karbohidrat, tetapi juga omega 3.
“Salah satu ikan yang paling tinggi kandungan omeganya adalah salmon,” katanya memetik laporan media Kompas.
Ibu beranak empat itu berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program Ngopi Dara, baru-baru ini.
Sementara itu, penyanyi berusia 44 tahun itu berkata, doktor kecantikan yang merawat menjelaskan rawatan tersebut sudah lama diamalkan di Korea dan Singapura.
“Sebab itu kita lihat kulit muka mereka sangat bersih, cantik dan berkilau,” jelasnya.
Katanya KD, doktor berkenaan turut menyarankan dirinya mengambil suntikan setahun sekali memandangkan keadaan kulit wajahnya masih baik. – MalaysiaGazette