KUALA LUMPUR – Ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menolak dakwaan kononnya beliau menjadi dalang untuk meluluskan borang permohonan Khairy Jamaluddin yang ingin bertanding bagi merebut kerusi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Shapawi berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita yang menyiarkan artikal bertajuk ‘Mengejutkan KP MSN bersekongkol dengan SM Nasarudin (SM Nasimuddin) arah pegawai lulskan KJ bertanding MPM’ yang bertarikh 25 Jun lalu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan tidak pernah terlibat dalam mengarahkan para pegawai MSN mengesahkan kelayakan pencalonan Khairy Jamaluddin untuk bertanding sebagai Presiden MPM.
“Saya juga tidak pernah campur tangan dalam pemilihan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM yang akan diadakan pada 29 Jun 2019 nanti.
“Demi menjaga nama baik saya sebagai penjawat awam dan pihak MSN, saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang–undang dan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isu timbul selepas bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy dikatakan lambat menghantar borang pencalonan untuk berebut jawatan Presiden MPM dengan pencabarnya adalah Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. – MalaysiaGazette