Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia menganggap insiden pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di timur Ukraine hampir lima tahun lepas masih dalam siasatan dan masih menunggu keputusan serta bukti kukuh.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ini kerana masih terdapat pelbagai persoalan serta kemusykilan berkaitan insiden itu, khasnya memandangkan Malaysia menyertai Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) beberapa bulan selepas ia ditubuhkan.

“Selagi kita tidak lihat dengan jelas tentang bukti kukuh mengaitkan empat nama itu kita anggap perkara itu masih dalam proses siasatan,” katanya apabila ditanya mengenai langkah JIT untuk membicarakan empat orang berhubung kejadian itu dan rasa tidak puas hati yang diluahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan keputusan pasukan penyiasat antarabangsa itu.

Pada 19 Jun, JIT mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga warga Rusia-Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov – serta seorang warga Ukraine iaitu Leonid Kharchenko yang dikatakan bertanggungjawab bagi tragedi MH17.

“Perbicaraan akan diadakan pada Mac hadapan. Masih ada masa untuk cari bukti berkaitan. Kita tunggu sampai perbicaraan di mahkamah dan akan nilai sebarang keputusan kelak,” katanya selepas melancarkan buku Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing: Melewati Pertukaran Rejim tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail terbitan Universiti Malaya (UM) Press di sini hari ini.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara wilayah Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah pro Russia mengorbankan 298 orang.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast