TAK BAI – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi memberi jaminan akan memberi sokongan terhadap pembinaan jambatan persahabatan yang menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat.
Malah kata beliau, perkara itu akan dibincangkannya dengan Menteri Kerja Raya agar pembinaan dapat dipercepatkan memandangkan ia akan memberi kebaikan daripada aspek perniagaan selain pelancongan.
“Diceritakan tadi tentang jambatan yang menghubungi kedua-dua negara.
“Saya yakin jika jambatan ini dibina dan siap, ia akan membawa kebaikan kepada pelancongan. Lebih senang Perniagaan di antara kedua-dua tempat akan berjalan lancar.
“Saya akan membawa usul pembinaan jambatan kepada Menteri Kerja Raya. Saya akan beri sokongan supaya ia dapat dibina secepat yang boleh,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang jambatan yang boleh menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai.
Mohamaddin ke Narathiwat membuat lawatan rasmi selama dua hari, diiringi oleh Gabenor wilayah itu Ekkarat Lessen.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata, kedua-dua negara bersetuju mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang. – MalaysiaGazette