NARATHIWAT – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengekalkan tema ‘Malaysia Truly Asia’
Tambah Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 kini telah mencecah 60 peratus dengan pendekatan-pendekatan mempromosikan negara di negara luar.
“Persiapan di luar negara kita semakin bersedia, perhubungan saya fikir kita ada buat banyak sekarang, kita punya hubungan India, Arab Saudi, China dan negara jiran kita Thailand memang ada. Ada banyak lagi.
“Saya boleh katakan persiapan telah mencecah 60 peratus ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Thailand-Malaysia di sini.
Kata beliau, logo dan kempen akan dilancarkan pada bulan depan.
Terdahulu ketika berucap di Makan Malam di sebuah hotel di Narathiwat, Mohamaddin berkata, beliau akan mengguna pakai semula tema Tahun Melawat Malaysia, Malaysia Truly Asia, sejak 2014 itu.
Turut hadir Gabenor Narathiwat, Thailand Ekkarat Lessen.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran terpenting kerajaan adalah memastikan pelancong dapat mengisi masa dengan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan sekiranya berkunjung di Malaysia selain dapat mempelajari budaya dan warisan.
“Masa depan Malaysia dalam sektor pelancongan sangat cerah. Cabaran mendatang adalah untuk memastikan pelancong mengalami pengalaman yang tidak dapat dilupakan bila mereka melawat Malaysia selain kepelbagaian budaya,” katanya. -MalaysiaGazette