Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas terbuka untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Malah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan ahli politik membuat pengisytiharan harta setiap  tahun sebagai memberi perkembangan terkini.

“Bagi Pas kita tidak ada masalah bila lulus kita mengalukan pihak membuka kaunter untuk isytihar (penerangan).

“Dari segi isytihar harta ini hari ini begini, esok mungkin berubah bulan depan akan berubah lagi setiap setahun akan berubah lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau turut mempertikaikan keberkesanan usul yang baru sahaja diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sepatutnya usul itu dijadikan akta yang akan memberikan kuasa menghukum kepada mana-mana Anggota Dewan Rakyat yang tidak mengisytiharkan harta.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan parti itu menggunakan agama dan hadis palsu apabila berkata, Islam melarang umatnya mengisytiharkan harta kepada orang ramai kerana ia boleh mengundang perasaan dengki.

Sebagai umat Islam, jelas beliau, tidak patut menolak hadis lain hanya kerana mempercayai hanya satu hadis.

“Saya fikir yang penting kita tidak boleh hanya berpegang satu pandangan semua hadis sebagai contoh hadis sahih, berapa hadis sahih? Ada enam.

“Masing-masing meletakkan syarat ada yang tegas, ada yang kurang oleh kerana itu tidak boleh kita berpegang hanya satu pandangan lalu kita berpandangan itu yang muktabar (dipercayai).

“Pas tak perkudakan agama. Hadis itu panduan,” katanya.

Semalam pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre, Wan Ji Wan Husin menyifatkan Tuan Ibrahim menggunakan hadis palsu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast