PUTRAJAYA – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat agung luar biasa pada 20 Julai ini, kerana buat masa ini beliau mahu agar mesyuarat itu, yang membabitkan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti, berjalan lancar dan mendapat persetujuan daripada mereka yang hadir.
“Saya terlibat juga memberi pandangan termasuk dalam jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Timbalan Presiden Bersatu), yang pentingnya pindaan-pindaan itu dibuat untuk kebaikan parti, jadi kita tunggu 20 Julai ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata parti itu akan memperkukuhkan perlembagaan sedia ada menerusi proses pindaan yang dijangka dilakukan pada bulan hadapan sebelum melaksanakan pemilihan parti itu.
Pindaan perlembagaan yang akan dilakukan menerusi mesyuarat agung itu akan melibatkan perubahan besar beberapa klausa dalam perlembagaan sedia ada.
Sementara itu, Rina berkata masih terdapat beberapa lagi agenda Srikandi yang perlu diberi tumpuan khususnya membabitkan kepimpinan dan pengurusan pentadbiran dan tidak sekadar memfokuskan kepada usaha memenangi pilihan raya sahaja.
“Kali ini kita ingin lahirkan ramai pemimpin dari segi pengurusan pentadbiran, suara kepada wanita, menggalakkan Srikandi jadi mata dan telinga kepada kerajaan sedia ada dan melahirkan lebih ramai lagi usahawan dalam kalangan wanita,” katanya.
— BERNAMA