Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak dan menentang keras cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori ke atas 11 kesalahan jenayah serius termasuk pembunuhan dan kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pilihan hukuman mati mandatori diganti dengan penjara 30 tahun atau seumur hidup mengikut budi bicara hakim akan membuka ruang kepadanya untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan.

Ini kerana, katanya akan timbul perasaan belas kasihan atau ada pelbagai cara serta usaha untuk mempengaruhi hakim yang terlibat dengan kes jenayah serius itu.

Menurut beliau, prinsip membunuh wajib dibayar dengan hukuman mati demi keadilan mangsa dan keluarga serta menjadi satu pengajaran dan pencegahan terhadap kesalahan jenayah serius.

“Pihak penjenayah serius atau yang tidak berhati perut tahu jika mereka membunuh dan didapati bersalah hanya dipenjara seumur hidup atau 30 tahun penjara.

“Mereka juga dapat menikmati makanan dan minuman serta tempat tinggal percuma. Ini juga boleh menjadi rangsangan kepada yang tidak berhati perut dan rakus.

“Kerajaan juga terpaksa membelanjakan kos yang besar untuk menanggung makan minum dan perubatan penjenayah itu dengan menggunakan duit dari cukai rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong semalam, yang dilaporkan berkata, Kabinet telah memutuskan untuk mengusulkan pemansuhan unsur mandatori hukuman mati bagi 11 kesalahan jenayah serius.

Kata menteri itu, di bawah perubahan yang dicadangkan kepada undang-undang berkaitan, hakim diberi pilihan untuk menggantikan hukuman mati dengan penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup mengikut budi bicara masing-masing.

Menurut Dr. Ibrahim, ketika ini kos untuk seorang banduan dianggarkan sekitar RM41 sehari termasuk kos keselamatan, dengankos lain juga akan turut meningkat seperti penyelenggaraan dan kakitangan penjara serta pasukan keselamatan.

Difahamkan setakat ini ratusan juta ringgit telah ditanggung oleh kerajaan dan kos itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Ketika ini terdapat 1,281 banduan jenayah serius iaitu “on death roll in prison”, di mana 300 orang daripadanya ada kena mengena dengan pembunuhan dan rompakan.

“Berapa banyak kos yang ditanggung oleh kerajaan? Cuba bayangkan pembaziran wang rakyàt ini boleh digunakan untuk lain-lain tujuan yang lebih berfàedah seperti membantu golongan fakir miskin tegar, OKU dan pendidikan dengan menambah dana biasiswa.

“Putra dapat menghidu dan mengetahui agenda mereka yang sebenarnya “golongan minoriti” yang berusaha keras dan agresif untuk menghapuskan hukuman mati mandotari ini.

“Mereka menggunakan alasan hak asasi manusia, tetapi mereka lupa akan hak asasi mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Tegas Dr. Ibrahim, kesalahan terhadap Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong adalah penderhakaan kepada negara yang tidak boleh ada belas kasihan dan wajib menerima hukuman mati mandotari.

Golongan minoriti ini, ujarnya boleh dikesan di mana mereka, malah berada di “koridor kuasa”, mungkin berada dalam Parlimen, Kabinet, firma guaman atau badan-badan NGO tertentu.

“Putra menggesa pihak majoriti bangkit bersuara dan bersatu tenaga menolak cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori ini.

“Kita mendesak kerajaan menarik balik cadangan memansuhkan mandatori hukuman mati ke atas 11 jenayah serius dan menyeru semua rakyat sama-sama menentang cadangan demi keadilan mangsa dan keluarga mangsa,” katanya.

Beliau yakin majoriti rakyat membantah cadangan memansuhkan mandotari hukuman mati dan bagi membuktikan kebenarannya, Putra mengesyorkan diadakan pungutan suara rakyat atau referendum seperti Brexit United Kingdom (UK).

“Ia juga mampu menyelamatkan wang rakyat dan menjadikan hukuman mati mandotari sebagai langkah pencegahan jenayah serius.

“Selain itu, kami turut merayu semoga Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan demi memastikan hukuman mati mandatori dikekalkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast