THE HAGUE, BELANDA – Pemain sayap sensasi, Arjen Robben mengumumkan persaraannya pada usia 35 tahun selepas menghabiskan 10 tahun bersama gergasi Jerman, Bayern Munich.
Telegraph melaporkan bintang antarabangsa Belanda itu menyifatkan keputusan tersebut paling sukar dibuat dalam kariernya.
“Hati saya berkata ya, badan saya kata tidak,” kata Robben apabila kontraknya bersama Bayern berakhir 30 Jun lalu.
Robben mengharungi sebanyak 96 perlawanan bersama skuad kebangsaan Belanda, menjaringkan sebanyak 37 gol
Dia menjadi tonggak ketika pasukan itu mara ke final Piala Dunia 2010 dan menamatkan saingan di tangga ketiga, empat tahun kemudian.
Dia memenangi dua gelaran Liga Perdana bersama Chelsea di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2005 dan 2006 sebelum menjulang gelaran La Liga bersama Real Madrid.
Robben yang juga produk akademi Groningen paling diingati ketika beraksi bersama Bayern di mana dia menjulang lapan gelaran Bundesliga, lima trofi Piala Jerman, Liga Juara-Juara 2013 dan meledak 144 gol dalam 309 penampilan.
Timbul spekulasi yang Robben akan terus bermain dan berkemungkinan kembali ke England tetapi dia memutuskan untuk menggantung but selepas sering dilanda kecederaan. – MalaysiaGazette