Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Penaung Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk, tengah) bersalaman dan berbual mesra dengan sebahagian tetamu diiringi Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin (dua kiri), Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Datuk Mohd Azzman Shariffadeen (kanan) dan Presiden PAUM, Datuk Noordin Abd Razak (kiri) pada Majlis Pelancaran Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tanggungjawab kerajaan menyalurkan dana menerusi belanjawan tahunan kepada Universiti Malaya (UM) tidak akan terhenti walaupun wujudnya University Malaya Endowment Fund (UMEF).

Penaung Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) yang juga alumni Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh berlepas tangan sebaliknya perlu meneruskan.

“Saya tegaskan tanggungjawab kerajaan mesti dilakukan kerana ini bererti bukan lari daripada tanggungjawab ( peruntukan tahunan).

“UMEF bukan sahaja bertujuan menolong pelajar miskin yang saya fahamkan 60 peratus graduan adalah golongan B40.

“Tabung wakaf (UMEF) ini juga berguna untuk bidang penyelidikan, pembelian mesin baharu yang selalu tidak dikendalikan oleh kerajaan.

“Sudah tentunya kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak miskin ini diberikan pembiayaan secukupnya (di sebalik UMEF) tetapi kita tidak boleh lari daripada peranan melahirkan jasa universiti, jasa profesor, jasa gedung (UM) ini dalam melahirkan ahli industri, pengurus pegawai yang sangat berdaya saing.,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancarannya malam tadi.

Majlis Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd Amin yang hadir mewakili Menteri Pendidikan Maszlee Malik di Dewan Tunku Canselor, UM Lembah Pantai.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, Penaung Persatuan Alumni UM, (PAUM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden PAUM, Datuk Noordin Abd Razak.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengambil maklumkan kewujudan kira kira 190,000 alumni UM yang berada di luar ketika ini dan setiap sumbangan kecil mereka mampu memberi sambutan terbaik kepada UMEF dalam mencapai objektifnya.

“Saya harap setiap alumni yang ada diluar sana kalau boleh memberikan sedikit sumbangan maka tabung UMEF akan mencapai objektifnya yang kita harapkan.

“Kita harap dengan pelancaran UMEF dapat beri sumbangan yang cukup bererti

“Sumbangan (alumni) kecil tak apa yang pentingnya daripada 200,000 orang ini sejumlah yang besar diharap memberi sambutan kepada inisiatif murni ini.

“Saya seru warga alumni datang beramai ramai dan beri sokongan kepada UMEF ini kerana sumbangan anda akan memberi peluang berharga kepada pelajar yang memerlukan.

“Ini harus menjadi naratif baharu yang mana bukan sahaja menyumbang pelajar pintar dan berkemampuan tetapi juga kepada pelajar kurang berdaya (kekuatan kewangan) luar bandar,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette