KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pelaksanaan isytihar harta bagi Ahli Parlimen yang disifatkan sebagai teori komunis.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, Pas sebagai parti bertunjangkan Islam tidak seharusnya menggunakan agama sebagai kuda tunggangan sekiranya tidak mampu menunaikan janji yang dipersetujui sebelum ini.
“Saya sukar nak bagi pandangan kepada dasar mereka yang flip flop. Tapi yang terang dan jelas, satu, jangan guna Islam kalau tak nak buat itu seolah-olah kita menunggang agama, itu satu jawapan salah.
“Kedua, jangan salahkan parti lain sebab isu transperancy ini kita dah sebut dalam manifesto kita. Bukan soal dari semua parti bersetuju, termasuklah Pas dulu,” katanya kepada media selepas menghadiri program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat di Dataran Merdeka, hari ini.
Mujahid ditanya komennya mengenai kenyataan Abdul Hadi yang berkata, teori isytihar harta secara umum adalah teori komunis dan sosialis.
Malah, Abdul Hadi turut berkata, pengisytiharan harta itu sendiri perlu dibuat mengikut keadaan dan bukan satu yang mutlak.
Mengulas lanjut, Mujahid bertanya kepada Abdul Hadi adakah diriny komunis kerana bertindak mengisytiharkan harta sebaik menjadi Ahli Parlimen pada 2008 lalu.
“Secara peribadi masa jadi pembangkang setiap tahun saya isytihar aset. Adakah saya komunis? Tak.
“Itu tanggungjawab saya, jadi berhati-hati buat kenyataan,” katanya lagi.
Terdahulu, Hadi dilaporkan berkata, pengisytiharan aset ialah konsep komunis dan sosialis.
“Sosialis ini dia kononnya hendak mengehadkan kekayaan, ternyata negara-negara sosialis yang bertukar liberal, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali,” katanya di Marang, kelmarin.
Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing.
Ahli Parlimen PAS dan UMNO membantah usul itu dengan berkata, kerajaan sepatutnya meminda undang-undang rasuah untuk menjadikannya wajib bagi ahli politik mengisytiharkan kekayaan mereka. – MalaysiaGazette