Lionel Messi

RIO DE JANEIRO, Brazil – Bintang Argentina, Lionel Messi bakal berdepan hukuman gantung selama dua tahun gara-gara mendakwa badan pemantau bola sepak Amerika Selatan, Conmebol, terlibat dengan rasuah.

Ini kerana dalam buku peraturan milik badan induk bola sepak Amerika Selatan itu, dengan jelas menyatakan tidak membenarkan mana-mana pihak menyerang Conmebol dengan apa cara pun, sama ada di peringkat institusi atau individu.

Artikel tersebut turut menggariskan perbuatan sedemikian boleh menyebabkan pelaku dihukum gantung selama dua tahun.

Jika didapati bersalah, penyerang Barcelona itu boleh terlepas aksi Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar, dan juga Copa America 2020 yang mana Argentina dan Colombia tampil sebagai tuan rumah bersama.

Kritikan terbuka oleh Messi itu telah menyebabakan Conmebol mengeluarkan kenyataan untuk menafikan tuduhan dan menganggap kenyataan pemain itu sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Messi mengeluarkan komen itu selepas diarah keluar padang ketika Argentina menamatkan saingan Copa America pada kedudukan ketiga dengan menundukkan Chile 2-1.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu terlibat dengan pergaduhan bersama kapten Chile, Gary Medel dengan Messi mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan sebelum pengadil, Mario Diaz de Vivar melayangkan kad merah.

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima, insiden yang berlaku adalah sebahagian daripada perlawanan.

“Tuduhan tidak berasas ini ditujukan kepada kami dan ia boleh menjejaskan integriti Copa America,” kata Conmebol dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Dalam perlawanan itu, Messi melancarkan serangan ke atas Conmebol dan pengadil perlawanan selepas merasakan Argentina menjadi mangsa ketidakadilan pengadil.

Dia turut menuduh badan itu memberi layanan istimewa kepada Brazil.

“Rasuah dan pengadil membuatkan orang ramai tidak dapat menikmati bola sepak kerana mereka merosakkan permainan ini.

“Tidak mustahil Brazil akan menjadi juara kerana Copa America memberi layanan istimewa kepada tuan rumah,” kata Messi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast