Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah menyindir Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohamed Arshad Raji yang dianggap cuba membodek kerajaan untuk dilantik ke jawatan yang lebih tinggi.

Pensyarah yang juga Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu mendakwa, tindakan Mohamed Arshad yang cuba membalas kenyataan, Datuk Seri Najib Razak berhubung seruan bekas perdana menteri itu agar ahli UMNO melawan Pakatan Harapan (PH) dengan berani seperti ‘pendekar-pendekar’ yang menentang komunis disifatkan sebagai askar pencen yang cuba menonjolkan dirinya agar kekal relevan berada dalam kerajaan hari ini.

Menurutnya, langkah Arshad membalas kenyataan bekas perdana menteri itu apabila mengatakan, tiada rekod UMNO dan anggotanya secara berkumpulan berjuang dan menewaskan pasukan bersenjata komunis sebelum kemerdekaan sebagai “cara berfikir macam otak udang”.

“Saya bukan mahu membela Najib atas kenyataannya mengenai komunis. Tetapi respon balas Arshad nampak sangat mahu bodek kerajaan hari ini untuk dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Tinggalkan perangai hodoh. Eloklah mendekatkan diri dengan masjid surau ketika usia sebegini.

“Memanglah UMNO tidak berperang dengan komunis, tetapi pasukan keselamatan ketika kerajaan di bawah pemerintah UMNO. Begitu juga rundingan damai tahun 1989 antara pihak kerajaan dengan komunis.

“Cubalah fahami ucapan Najib dalam bentuk teks dan konteks. Jika tidak faham, mari saya ajar. Mungkin Arshad dan ahli Patriot tidak faham bahasa teks dan konteks itu. Naif sangat.” katanya menerusi tulisan yang disiar di sebuah laman portal.

Ridhuan Tee berkata, mungkin Arshad merasakan dirinya besar kerana telah dilantik sebagai ahli lembaga dalam beberapa institusi kerajaan.

Namun katanya, Arshad bukanlah siapa-siapa dan beliau tidak perlu untuk berlagak seolah-olah dirinya seorang yang bijak serta beliau tidak pasti kelayakan yang dimiliki oleh bekas anggota tentera itu.

Dalam pada itu, Ridhuan Tee turut mempersoalkan sumbangan yang diberikan oleh Arshad ketika gerakan menentang komunis dilakukan oleh rakyat sebagai membantu tentera dalam insiden pada tahun 1957.

Katanya, adakah pengorbanan yang dilakukan oleh Arshad itu sama seperti pejuang mendiang Kanang anak Langkau yang berani mengorbankan dirinya untuk menentang komunis.

“Beliau hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan. Adakah Arshad sehebat Kanang? Jauh panggang daripada api.

“Setahu saya, hanya beberapa kerat sahaja anggota tentera pencen yang menyertai persatuan yang kononnya digelar Patriot. Arshad tidak mewakili tentera secara keseluruhan. Nampak sahaja hebat, bukan ada apa-apa pun. Gigipun dah tak ada apatah lagi nak menggigit.

“Sudahlah Arshad, pergilah dekati masjid surau, untuk balas balik waktu muda dahulu yang tidak ada kesempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast