KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melalui pelbagai prosedur dan perbincangan mendalam sebelum mengambil tindakan termasuk memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sekiranya kerajaan hari ini bertindak terburu-buru dan tidak mengikut prosedur, ia tidak jauh beza dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
“Kita masih mengamalkan demokrasi dan demokratik. Bukan mudah untuk kita untuk ambil alih kerajaan dan ada banyak prosedur yang perlu kita laluinya.
“Kita kena berbincang kemudian dibawa ke Parlimen dan prosesnya ambil masa. Jika kita tidak laluinya, kita sama seperti Kerajaan BN,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Hi Home di Kelab DiRaja Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang menolak rayuan Wan Ji Wan Hussin, 37, terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji berkuat kuasa semalam selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.
Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012. – MalaysiaGazette