KUALA LUMPUR – Pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula sebanyak 40 sen seliter berkuatkuasa 1 Julai lalu memberi kesan kenaikan harga jualan yang minimum bagi produk minuman bergula yang terlibat.
Contohnya kenaikan harga sekurang-kurangnya 10 sen bagi minuman sedia diminum dalam bentuk pembungkusan bersaiz 250ml, sekurang-kurangnya 20 sen bagi minuman bersaiz 500ml dan sekurang-kurangnya 40 sen bagi minuman bersaiz 1 liter.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dengan kenaikan harga jualan, kerajaan berharap ia akan dapat mengurangkan permintaan minuman bergula tinggi di pasaran, seterusnya mengubah trend pengambilan minuman ke arah pilihan yang lebih sihat, iaitu kurang kandungan gula.
Pelaksanaan duti eksais ini juga secara tidak langsung akan turut menggalakkan industri untuk menghasilkan lebih banyak produk
minuman yang mengandungi kadar gula lebih sihat, sekaligus membantu mengurangkan prevalen obesiti dan penyakit tidak berjangkit berkaitan
pemakanan di kalangan rakyat.
“Duti eksais ke atas produk minuman bergula merupakan salah satu strategi yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia ( 2016-2025) dengan tujuan untuk menangani isu peningkatan kos rawatan penyakit obesiti, diabetes dan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (BN-Lenggong) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang bertanya adakah pelaksanaan duti eksais itu
tidak akan mengakibatkan kenaikan harga barang ke atas produk yang dikeluarkan.
Guan Eng berkata, cukai ke atas minuman bergula telah dilaksanakan oleh 28 buah negara lain di dunia termasuk di Asia seperti Brunei
yang bermula pada April 2017.
Negara-negara lain pula ialah Hungary, Perancis, Mexico, United Kingdom dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, katanya, duti itu dikenakan hanya kepada minuman sedia diminum bermaksud minuman tersebut sedia untuk diminum
tanpa melalui proses seterusnya seperti pembancuhan, pemanasan dan sebagainya tanpa mengambilkira bentuk pembungkusannya.
Minuman seperti teh tarik yang dibancuh di kedai atau restoran bukan minuman sedia diminum dan ia tidak akan dikenakan duti ini. – MalaysiaGazette