Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

PUTRA merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan Malaysiakini bahawa “Akta Hasutan akan dimansuh, diganti secepat mungkin”.

Parti Putra mengambil pendirian konsisten majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian bahawa Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk mengawal hak kebebasan bersuara di Malaysia.

Sebenarnya, cadangan minoriti rakyat untuk memansuhkan Akta Hasutan ini telah kedengaran sejak tahun 2012 lagi, namun kerajaan terdahulu telah akur dengan desakan itu untuk hanya meminda akta berkenaan pada tahun 2015, bukan memansuhkannya bagi memperkenalkan Akta Harmoni untuk menggantikannya.

Kali ini, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan bersalah terhadap Wan Ji Wan Husin dan menambah hukuman penjara selama satu tahun, desakan untuk memansuhkan Akta Hasutan kembali dicanang.

Bezanya, dahulu ianya dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang. Kali ini, desakan itu datang daripada individu yang sama, cuma kapasiti mereka kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Putra mengakui Akta Hasutan telah digubal sebelum merdeka, namun tidak menjadikan ianya lapuk dek zaman.

Sebagai contoh, Kanun Keseksaan (Penal Code) yang menjadi statut utama dalam pendakwaan kes-kes jenayah telah digubal pada tahun 1936 lagi iaitu 12 tahun sebelum Akta Hasutan digubal.

Jika sesiapa mempersoalkan isu lapuk Akta Hasutan semata-mata kerana tahun 1948, mengapa mereka tidak menghujahkan isu lapuknya Kanun Keseksaan (Penal Code).

Relevan atau tidak sesuatu akta itu dengan keadaan semasa adalah bergantung kepada proses pindaan undang-undang itu sendiri yang perlu diselaraskan sesuai dengan tuntutan semasa dan Akta Hasutan telah dipinda sebanyak tiga kali sejak merdeka, terkini tahun 2015 untuk disesuaikan dengan tuntutan zaman.

Dalam keghairahan pemimpin kerajaan sekarang yang mahu memansuhkan Akta Hasutan, Putra ingin mengingatkan semua pihak bahawa Akta Hasutan bukan undang-undang biasa yang boleh dibuang begitu sahaja dengan majoriti mudah di Parlimen. Akta Hasutan 1948 mempunyai kedudukah khas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Putra mengimbau fasa pindaan Akta Hasutan tahun 1971, kesan tragedi  Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyebabkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan Perkara 10(4) yang memperuntukkan, “…Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Melayu), 153 (perizaban kuota untuk Melayu dan Anak Negeri) atau 181 (kedaulatan raja-raja).

Dan atas asas pindaan Perlembagaan di atas, Akta Hasutan 1948 dipinda dengan menambah Seksyen 3(1)(f) kepada Akta Hasutan memperuntukkan “sesuatu kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan-(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Ini menunjukkan bahawa Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 adalah digubal dan diluluskan Parlimen di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selanjutnya, Putra merujuk kepada Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.” Perkara 159(6) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan dalam perkara ini “pindaan termasuklah tambahan dan pemansuhan”.

Jadi, ini secara jelas bermaksud, sekiranya kerajaan ingin memansuhkan Akta Hasutan 1948 semata-mata kerana bersimpati dengan hukuman yang dikenakan terhadap seorang aktivis Pakatan Harapan (PH), Wan Ji Wan Husin, maka sebelum Proses Bacaan Kali Pertama (untuk tujuan pemansuhan) di Parlimen, kerajaan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan Perkenan Majlis Raja-Raja Melayu mengikut Perkara 159(5) di atas.

Putra mengambil maklum bahawa Tun Dr. Mahathir, ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat dahulu telah melakukan dua pindaan perlembagaan pada tahun 1993 dan 1994 (berkaitan isu imuniti Raja-Raja dan Kuasa bertindak mengikut nasihat) tanpa mengikut prosedur iaitu hendaklah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Walaupun perkenan Majlis Raja-Raja hanya diperolehi kemudiannya (selepas diluluskan Dewan Rakyat) dua tokoh akademik seperti Abdul Aziz Bari dan Shad S. Faruqi telah mengkritik keras proses pindaan perlembagaan tahun 1993 dan 1994 berkenaan sebagai tidak berperlembagaan.

Namun, disebabkan Dr. Mahathir adalah Dr. Mahathir, beliau ketika itu yang mempunyai kekuatan majoriti melebihi dua per tiga dan menguasai media untuk tidak mensensasikan pelanggaran prosedur ini, telah tidak mempedulikan nasihat Peguam Negara ketika itu dan mengabaikan bantahan Ketua Pembangkang (Lim Kit Siang) untuk meneruskan juga proses pindaan walaupun tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Putra mengingatkan Dr. Mahathir bahawa keadaan tahun 2019 ini berbeza. Dalam keadaan beliau tidak mempunyai majoriti dua per tiga dan dalam keadaan media sosial lebih berpengaruh daripada media arus perdana, beliau harus mempertimbangkan semula sama ada untuk sekali lagi melanggar peruntukan perlembagaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Jika beliau meneruskan hasrat tersebut, pastinya ini mengundang terjadinya Krisis Perlembagaan yang seharusnya keadaan ini kebiasaannya cuba dielakkan oleh mana-mana kerajaan yang sedang melemah akibat kegagalan mereka menunaikan janji manifesto pilihan raya terhadap rakyat. – MalaysiaGazette

** Mohd Khairul Azam Abdul Aziz adalah Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang & Pengaduan Awam PUTRA.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast