SINGAPURA – “Cermin hantu” yang berfungsi untuk “memberi amaran” kepada kenderaan belakang yang menggunakan lampu suluh tinggi dianggap sebagai terlalu menakutkan dan mampu menyebabkan kemalangan.
Penggunaan pelekat itu pada cermin belakang pernah mencetuskan fenomena dan debat di luar negara.
“Cermin hantu” kelihatan biasa dalam keadaan gelap, namun lembaga yang menyerupai hantu dan raksasa akan muncul apabila terkena cahaya kuat daripada lampu kereta.
Masing-masing China dan Korea Selatan telah mengharamkan penggunaan pelekat itu dan polis juga mengeluarkan kompaun ke atas pesalah.
Sinchew Daily melaporkan, cermin itu bagaimanapun dikesan di Singapura baru-baru ini dan sudah ada pemandu yang terlibat dalam kemalangan kecil selepas terperanjat dengan kemunculan hantu dalam kereta hadapan.
Seorang blogger juga menceritakan pengalaman ibunya yang hampir terlibat dalam kemalangan selepas melihat satu lembaga wanita dan satu lembaga kanak-kanak yang bermuka pucat dalam kereta di depan.
Pemerikaan di portal membeli-belah yang popular di Malaysia mendapati pelekat hantu dengan pelbagai rekaan menakutkan itu dijual kira-kira RM30 termasuk kos penghantaran.