KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) perlu fokus membina ekosistem keusahawanan yang inklusif menerusi Dasar Keusahawan Negara (DKN) 2030.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi dasar itu semua isu pertindihan dasar, tugas dan aktiviti
pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan di beberapa kementerian dapat diselaras semula.
“Saya harap dengan wujudnya Dasar Keusahawan Nasional ini, beberapa isu yang mengganggu kelompok usahawan kita dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, dasar yang dilancarkan pada hari ini memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat dan jika boleh ia perlu dijadikan budaya.
Jika diimbas, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan keusahawanan sebagai salah satu agenda penting bagi pembangunan Negara.
Jelasnya, pada Julai 2018 kerajaan mewujudkan semula kementerian yang khusus untuk keusahawanan dan sejak itu kerajaan tidak henti menekankan perlunya pembangunan keusahawanan yang lebih lestari.
“Kemuncaknya adalah hari ini apabila kita melancarkan Dasar Keusahawan Nasional di mana dokumen ini diharap akan menjadi blueprint kepada usaha kita untuk memastikan objektif-objektif agenda keusahawanan tercapai.
“Selain itu, yang lebih penting ialah meletak keusahawanan sebagai satu strategi utama pembangunan ekonomi Negara,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi aset penting Kerajaan dan ia
bukan sekadar untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat tetapi merupakan strategi dan inisiatif untuk mengeluar negara daripada perangkap pendapatan pertengahan.
Katanya lagi, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), keusahawanan dikenal pasti sebagai salah satu bidang keutamaan nasional menjelang Wawasan 2020.
“Kita sekarang menghadapi suasana ekonomi dunia yang bukan sekadar kompetitif dan mencabar, malahan penuh dengan ketidaktentuan akibat dari apa yang kita kenali sebagai trade wars.
“Kerana itu Dasar Keusahawan Nasional ini amat wajar dan ia diperkenal tepat pada masanya,” katanya.
Dalam pada itu, perdana menteri menegaskan dalam ketidaktentuan akibat perang perdagangan Malaysia masih mampu menarik pelaburan luar.
Jelasnya, untuk suku pertama 2019, angka pelaburan asing ke dalam negara (FDI) mencecah RM21.7 bilion.
Secara perbandingan, untuk tempoh masa yang sama, bagi tahun 2018, FDI hanya berjumlah RM11.2 bilion, katanya.
Katanya lagi, laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa memberikan unjuran yang sangat positif kepada Malaysia apabila KDNK dan pendapatan per kapita diramal meningkat.
Berasaskan penilaian semasa, Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2021 atau 2022.
“Angka-angka dan ramalan-ramalan memperlihatkan keupayaan kita untuk terus merancakkan ekonomi negara. Tetapi kita harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan.
“Kerana itu, tumpuan perlu diberi kepada “domestic investment” (pelaburan langsung domestik) sejajar dengan tumpuan dan harapan kita terhadap FDI atau pelaburan langsung asing ke dalam Negara.
“Disinilah perlunya keusahawanan negara dipertingkat dan Dasar Keusahawanan Negara dirangka sedemikian rupa untuk mencapai objektif tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette