KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi merangka dan meneliti draf Akta Wakaf yang dalam perancangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Ahli Parlimen Parti Buntar itu, jawatankuasa berkenaan akan dibarisi pakar-pakar perunding komputer dan pakar kewangan Islam kerana ia membabitkan regulatori melibatkan wang tunai.
“Akta Wakaf ini kita perlu ada masa yang lebih untuk kita rangkanya.
“Kalau nak bawa wakaf ke peringkat yang seterusnya dan menjadi sebahagian daripada institut kewangan maka cabaran akan lebih hebat dalam usaha untuk meluluskan akta ini.
“Malah ini juga berkait rapat dengan ketelusan, dasar kerajaan dan patuh syariah. Ini tidak perkara yang kita ambil kira sekarang,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Memaksimumkan Impak Sosial Melalui Penyelesaian Wakaf di Sasana Kijang, Bank Negara hari ini.
Mei lalu, Mujahid berkata, JAKIM kini dalam proses kajian dan draf membabitkan regulatori yang cukup kuat perlu disediakan untuk menghindari sebarang kecurangan tatacara pengurusan wakaf.
Malah, Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (Jawhar) yang turut terbabit dalam merangka akta itu sedang meneliti beberapa negara mempunyai tatacara pengurusan wakaf efisien seperti Turki untuk dijadikan contoh di samping menerima pandangan Peguam Negara.
Ditanya mengenai penglibatan kerajaan-kerajaan negeri mengenai Akta Wakaf, Mujahid berkata, ia akan turut mengambil kira model wakaf daripada semua pihak bagi melicinkan penggubalan rang undang-undang itu kelak.
“Selalunya kita akan berunding dengan pihak kerajaan negeri dan kita akan tunjukkan model yang terbaik kalau ada di peringkat negeri, kita akan ambil.
“Kita akan bincang dan libat urus daripada majlis agama Islam negeri dan majlis raja -raja juga kita akan libatkan.
“Bila sudah bersetuju maka ia akan dipersetujui secara konsensus, bukan atas paksaan,” katanya lagi.
Bagaimanapun pelaksanaan Akta Wakaf itu hanya akan dilaksanakan di peringkat nasional.
Akta Wakaf dilihat penting bagi menjadi penanda aras, model atau rujukan negeri-negeri supaya menjadi landasan bagi negeri-negeri mewujudkan enakmen wakaf di negeri masing-masing. -MalaysiaGazette