KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang membuat pusingan U serta menangguhkan penguatkuasaan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) dalam kalangan pemandu e-panggilan 9e-hailing) sudah dijangka sejak tahun lalu.
Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan, beliau tidak terkejut dengan langkah itu kerana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke didakwa dipengaruhi oleh syarikat pengendali e-hailing khususnya Grab.
“Tiada lagi kompromi, dia (Anthony) mana boleh sambung tiga bulan (penguatkuasaan) sebab sudah beri satu tahun.
“(Tindakan) Dia akan menimbulkan kemarahan industri teksi. Ini bukan keputusan Kabinet, tapi Anthony Loke sendiri, satu tahun sudah beri moratarium, lagi nak tiga bulan.
“Ini semua pembohongan yang dibuat oleh Grab dan pemandunya. Jadi tiada penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media meninjau operasi e-hailing di sekitar menara Suria KLCC dan Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anthony dalam satu kenyataan bahawa Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya penguatkuasaan perkhidmatan e-hailing yang bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.
Kenyataan itu berkata, semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka selama tiga bulan, mulai hari ini.
Shamsubahrin juga mendakwa, Anthony menerima rasuah untuk mengubah penguatkuasaan pemilikan PSV dalam kalangan pemandu e-hailing dan tindakan itu disifatkan sebagai tidak bijak.
“Dia tak perlu tiga bulan sebab sudah cukup tiga tahun, teksi sendiri mana ada dapat tempoh macam ini,
“Tiada lagi tiga bulan, ini sah Anthony Loke dapat rasuah. Itu alasan bodoh, dia sudah pergi kelas memandu, satu tahun sudah beri tempoh.
“Menteri bodohkah, menteri gilakah, menteri bahalol, inilah orang marah, dia kata tidak hormat dia,” katanya.
Terdahulu Shamsubahrin membuat tinjauan di sini dan mendapati masih terdapat segelintir pemandu e-hailing iaitu Grab masih beroperasi seperti biasa meskipun tidak mempamerkan pelekat e-hailing berwarna kuning yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pada 26 November 2018, Anthony Loke dalam satu kenyataan berkata, semua pemandu perkhidmatan e-hailing mesti membuat pendaftaran PSV seperti pemandu teksi lain mulai Januari 2019.
Menurut Anthony, pemandu diberi tempoh sehingga 12 Julai 2019 untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka termasuk mengikuti kursus PSV. – MalaysiaGazette