Chef Wan

KUALA LUMPUR – Menuduh golongan peneroka Felda pemalas dan beranak pinak seperti kucing tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang ikon, bidas Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi).

Presidennya, Roslan Md. Esa berkata, sepatutnya Datuk Redzuawan Ismail atau terkenal dengan nama Chef Wan bersyukur dan memberikan kata-kata semangat kepada peneroka terutama generasi baharu untuk lebih berusaha memajukan kehidupan.

“Ini dilontarnya kata-kata yang menyakitkan hati dan perasaan para peneroka sebaik menerima anugerah Ikon Felda dari Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Bagaimanapun, tegas beliau, apa yang dikatakan oleh Chef Wan itu tidak menggambarkan keadaan peneroka keseluruhannya.

Katanya, selebriti masakan itu sepatutnya menarik balik kata-kata itu dan amat wajar sekali beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh peneroka Felda yang sudah terguris.

“Dia bukan saja melontarkan kata-kata keterlaluan mengaibkan warga peneroka, tetapi juga biadab dan gagal memahami isu yang berlaku dalam Felda secara matang.

“Dia harus ingat, ramai lagi anak-anak peneroka Felda yang lebih berjaya dan layak ditabal sebagai ikon,” katanya.

Roslan turut menyifatkan kenyataan itu amat memalukan dan melukakan hati peneroka serta menggesa Chef Wan memulangkan semula anugerah yang diterimanya pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast