Lee Lam Thye
Lee Lam Thye.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran agar mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) di peringkat sekolah sebagai langkah menghadapi sebarang situasi kecemasan atau insiden tidak diingini.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, SOP sebegitu adalah perlu kerana boleh memberi panduan kepada pihak sekolah, murid dan guru untuk mendepani kejadian seperti pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pasir Gudang baru-baru ini.

“Saya mencadangkan agar KPM berbincang dengan kementerian lain temasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi kerajaan lain untuk membantu wujudkan SOP berkenaan.

“Agensi-agensi Ini boleh membantu dengan memberikan input, cadangan serta maklum balas kepada KPM tentang bagaimana satu SOP sesuai yang boleh digunakan di sekolah apabila berlaku kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kem Motivasi UPSR anjuran Yayasan Eco World di Hotel Good Hope Skudai di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara aspek yang boleh ditekankan ialah pemilihan topeng muka yang bersesuaian yang sepatutnya digunakan oleh pelajar dan warga sekolah kerana sebelum ini tiada pendedahan dan ilmu mengenainya, diberikan kepada pelajar, guru dan sekolah.

Katanya, dalam kes di Pasir Gudang itu misalnya, ramai pelajar mengalami trauma dan fobia yang amat serius kerana semua pihak tidak menjangkakan insiden itu akan menjadi serius.

“Saya sebagai aktivis sosial amat risau atas apa yang berlaku apabila terjadinya fobia di kalangan pelajar dan ibu bapa sehingga ada yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana risau akan keselamatan anak mereka. Jadi saya mencadangkan SOP ini perlu diwujudkan,” kata beliau.

Menyentuh isu merotan pelajar, Lee berkata, penggunaan rotan haruslah menjadi alternatif terakhir pihak sekolah untuk mendisiplin dan membentuk pelajar.

Katanya, bagi mengelakkan isu rotan terus terjadi, KPM disarankan agar memastikan bilangan guru kaunseling di setiap sekolah mencukupi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast