KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menolak sebarang usaha mana-mana pihak untuk membenarkan ajaran-ajaran sesat diamal dan diajarkan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, ia termasuk ajaran qadiani dan syiah serta menolak penyebaran agama Kristian secara berleluasa kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.
“Muzakarah hari ini menolak mana-mana usaha yang cuba untuk membenarkan ajaran-ajaran sesat seperti qadiani, syiah dan yang seumpamanya diajar dalam masyarakat umat Islam.
“Begitu juga penyebaran agama Kristian yang bertentangan dengan Perlembangan negara.
“Kami menyeru masyarakat Islam khususnya untuk terus berdoa, berzikir dan bermunajat kepada Allah untuk diberikan pertolongan dalam mempertahankan agamaNya,” katanya pada sidang media selepas program Ijtimak Ulamak dan Daie Ummah di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Khamis lalu, media melaporan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengikut Syiah boleh mengamalkan fahaman tersebut selagi menghormati fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ia adalah menjadi hak peribadi semua individu untuk mengamalkan ajaran atau fahaman masing-masing.
Aminuddin juga berkata, golongan ulamak dan daie di negara ini akan bekerjasama dengan Ummah dalam menyebarkan kesedaran dalam kalangan umat terhadap kegawatan agama Islam.
“Kita melahirkan kebimbangan dengan meluasnya pemikiran liberalisma, kristianisasi yang menyebabkan kerosakan pemikiran rakyat.
“Agama Islam dilihat semakin hari semakin ditekan baik dari segi undang-undang dan Perlembagaan, sosial dan juga dasar-dasar pendidikan negara.
“Ummah menyeru umat Islam untuk bersatu dengan mengenetepikan perbezaan-perbezaan kecil supaya mampu menghadapi serangan musuh,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pihak yang mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi dalam suasana yang tidak kondusif pada hari ini.
“Kami menyokong atas segala usaha yang dilakukan termasuk memperkukuhkan institusi ulamak, pondok dan warisan perjuangan ulamak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette