Gambar hiasan

UMUR persaraan kakitangan kerajaan atau swasta di negara-negara Kesatuan Eropah adalah 65 tahun. Ada negara telah menaikkan usia persaraan kepada 67 tahun. Penetapan usia bersara ini seringkali dikaitkan dengan tempoh jangka hayat. Negara-negara Barat seperti Sepanyol, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis telah menaikkan usia persaraan dari 65 hingga 67 tahun, manakala umur persaraan di Britain dan Ireland adalah 68 tahun.

Umur persaraan di Norway, Sweden dan Finland pula fleksibel. Rakyatnya boleh bersara dalam lingkungan umur yang lebih tinggi bergantung kepada tahap kesihatan dan keupayaan masing-masing. Dalam kalangan negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah menetapkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun.

Di Malaysia, umur persaraan kakitangan kerajaan atau swasta di antara 56 hingga 60 tahun. Jika dibandingkan dengan negara lain di dunia, boleh dikatakan rakyat Malaysia bersara pada usia muda. Jika jangka hayat lelaki adalah 72 tahun, ini bermakna kita ada lebih kurang 12 tahun untuk sampai usia jangkaan. Ini merupakan satu jangka masa yang agak panjang.

Hakikatnya, dunia persaraan sentiasa menanti ketibaan dalam kalangan para pekerja.  Setelah bersara, kita tidak lagi menjalankan kerja harian yang biasa kita lakukan sepanjang lebih 30 tahun. Sekiranya kita tidak pernah mencuba aktiviti selain tugas rutin yang kita lakukan di pejabat atau fakulti, maka dunia persaraan menjadi satu cabaran untuk kebanyakan orang.  Yang jelas, apabila memasuki alam persaraan, kita akan menemui budaya baharu daripada segi ideologi, sosial dan budaya. Jika dahulunya kita sibuk dengan aktiviti pejabat dan fakulti, tiba-tiba kita duduk diam sahaja di rumah.

Justeru, kita sering dapati ramai pesara yang diserang penyakit lumpuh, lemah jantung, kencing manis, darah tinggi dan masalah psikologi. Masalah sebeginilah yang kita mahu elakkan apabila memasuki alam persaraan.

Sebenarnya, kita harus bersedia apabila tiba masa untuk bersara. Kita seharusnya mempunyai visi sama seperti kita mula memasuki di dunia pekerjaan.  Pembentukan misi dan visi ini boleh diperolehi dengan mengikuti kursus peralihan yang dijalankan oleh jabatan masing-masing.  Biasanya kursus persediaan pesara lebih tertumpu kepada pengurusan kewangan. Hal ini mungkin disebabkan ramai dalam kalangan pesara yang tidak biasa mengurus wang imbuhan pesaraan yang banyak diperolehi sebaik sahaja mereka bersara. Tambahan pula, para pesara perlu menerima hakikat bahawa pendapatan mereka berkurangan sebanyak 40 peratus. Untuk tujuan itu, para pesara seharusnya bersedia dari sekarang untuk menghadapi keadaan ini.

Pada hemat penulis, perkara utama yang perlu diutamakan adalah kestabilan emosi. Kita hendaklah berasa gembira dan bersyukur kerana terlepas daripada beban komitmen bekerja dalam waktu pejabat. Kita hendaklah juga berasa gembira dan bersyukur kerana telah tidak lagi mempunyai hutang yang perlu dijelaskan dengan banyak seperti hutang pinjaman rumah dan kenderaan.  Para pesara hendaklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan hutang baru seperti membeli rumah dan kereta baharu yang mahal.  Para pesara perlu menjauhkan diri daripada membebankan hutang yang dipusakakan kepada anak-anak setelah kita meninggal dunia. Kita hendaklah berasa bersyukur dan gembira apabila tidak lagi bekerja sebab kita dapat bersama meluangkan waktu bersama keluarga dan anak-anak.  Apabila menjelang persaraan, harapan kita adalah kita bersara dalam keadaan sihat dan mempunyai masa untuk merancang aktiviti bermanfaat yang ingin dilakukan. Kita melakukannya disebabkan kita tidak dapat melakukannya semasa bekerja dahulu. Kita harus mempunyai perancangan kerjaya yang lebih fleksibel yang telah lama diminati semasa berada di alam pekerjaan.

Setelah memasuki alam persaraan, para pesara tidak seharusnya memikirkan tentang memaksimumkan keuntungan atau meminimumkan kerugian.  Sebaliknya para pesara harus mencari aktiviti yang membawa kepada sesuatu yang optimum. Perhatikan slogan ”pertanian satu perniagaan” yang pernah kita dengar sebelum ini.  Pertanian kini menjadi satu daya tarikan untuk pelajari oleh semua. Kini pertanian moden sedang berkembang di seluruh dunia dengan pelbagai teknologi yang canggih.  Sebagai contoh, ternakan ikan di dalam kolam di belakang rumah boleh menjana pendapatan lumayan. Air ikan dari kolam boleh disalurkan ke batas untuk ditanam sayur-sayuran untuk keperluan dapur. Bagi yang meminati bidang pertanian, pemikiran kita perlu diupayakan dalam bidang pertanian seperti menceburkan diri dalam penternakan ikan, perusahaan madu kelulut, penanaman nanas dan sebagainya untuk memenuhi masa persaraan.  Selain itu, kita juga perlu terlibat dengan aktiviti kerohanian seperti mendalami pengajian Al-Quran, ilmu hadis serta ilmu agama yang lain. Biasanya kita boleh mempelajarinya di masjid dan surau yang menawarkan pelbagai aktiviti keilmuan yang tidak melibatkan bayaran kewangan dan tidak melibatkan pergerakan fizikal yang banyak.

Kestabilan kewangan diri dan keluarga sangat mempengaruhi emosi para pesara. Sekiranya keupayaan kewangan dan fizikal tidak mengizinkan ketika kita bersara, kita hendaklah mempunyai keyakinan diri untuk terus berusaha bagi mencapai kestabilan emosi.  Untuk tujuan itu, kita jangan sesekali menyalahkan orang lain atau menyesal kerana salah tindakan masa lalu, atau merasa disisih keluarga atau stres.  Kita semua tahu stres merupakan salah satu punca wujudnya banyak penyakit kritikal. Emosi negatif haruslah dielakkan dan perlu kepada pendekatan tertentu. Bakal pesara perlu membaca banyak buku mengenai persediaan bersara. Kebanyakan dapatan menunjukkan persediaan menjaga emosi melalui pendekatan agama sangat berkesan dalam alam persaraan.  Ini mampu mengukuhkan spiritual, hubungan kita dengan Pencipta.

Kita harus perkuatkan pegangan agama dan menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Allahlah yang menghidup dan mematikan kita. Dialah yang memberi rezeki yang banyak pada kita. Dialah yang memberi penyakit dan Dialah yang menyembuhkan. Kita juga meyakini bahawa tiada siapa yang berhak disembah selain daripada Allah SWT. Kita juga perlu mengukuhkan kecintaan kita kepada baginda Rasul SAW. Hidup kita akan lebih bahagia apabila kita menyuburkan kasih sayang sesama manusia khasnya keluarga kita yang terdekat.  Kita perlu berusaha meningkatkan kasih sayang sesama keluarga.  Inilah pendekatan yang sangat berkesan untuk membawa kita kepada kestabilan emosi. Dengan kekuatan spiritual ini, sudah pasti para pesara mampu melalui perubahan hidup yang dialami dengan tenang dan dalam keadaan redha atas pemberian Ilahi.  Saranan ini tidak terhad kepada agama Islam sahaja, malah kita tahu agama lain pun ada pendekatan yang berbeza. Persediaan kestabilan spiritual ini sangat penting dan sekiranya tidak tahu caranya. Masih tidak terlewat untuk kita belajar di masjid, surau atau madrasah yang berdekatan. Lebih baik jika kita mempunyai guru untuk membimbing dalam mempelajari ilmu agama ini.

Kesihatan perlu dijaga untuk menjaga emosi. Jika kesihatan tidak dijaga, maka sukarlah untuk menjaga emosi. Kesihatan adalah faktor utama dalam mencapai kebahagiaan hidup sebagai pesara. Pesara hendaklah berusaha bersedia untuk memastikan fizikal dan mental sentiasa sihat supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Supaya visi yang kita buat pada awal persaraan berjaya dicapai.  Jika fizikal tidak sihat, ia pasti mengganggu kehidupan di dunia persaraan. Pada waktu itu, pesara akan sibuk mencari penyelesaian masalah kesihatan. Oleh itu, penjagaan dan pemeriksaan kesihatan hendaklah dilakukan secara berkala sebelum dan selepas waktu persaraan. Cuba usahakan satu tabiat menjaga kesihatan.  Kerja menjaga kesihatan bukan aktiviti berkala tetapi hendaklah menjadi aktiviti berterusan sehinggalah akhir hayat.  Kita tidak mahu memasuki dunia persaraan dalam keadaan sakit atau tidak sihat.  Jika kesihatan terganggu, banyak masa persaraan nanti akan dihabiskan untuk merawat sahaja. Ini suatu tragedi yang perlu dielakkan.

Kita sering mendengar pertanyaan kepada para pesara, ”Setelah bersara nanti, kau buat apa?”. Masyarakat kita seolah-olah tidak boleh menerima hakikat bahawa kehidupan bekerja ada tempoh waktunya. Masyarakat kita tidak boleh menerima seseorang itu makan, tidur, bangun, makan dan tidur kembali.  Sebenarnya masyarakat kita hendak tahu apa yang kita lakukan setelah tidak bekerja di pejabat. Mereka merasakan diri mereka juga akan bersara dan mahu mengambil pengalaman.

Realitinya, merancang kerjaya bagi menggantikan kerjaya asal boleh membantu meningkatkan kesihatan mental. Ia membawa kepada kecerdasan akal dan kestabilan emosi. Kita jangan berhenti melakukan apa-apa kerja yang berfaedah setelah bersara. Sering kali kita mendengar kisah orang yang langsung tidak bekerjaya setelah bersara. Terdapat beberapa kes apabila seseorang bersara, mereka langsung tidak menjalankan aktiviti, mengalami penyakit angin ahmar dan sebagainya. Walaupun tanpa disokong dengan sebarang statistik, namun fenomena ini sering menjadi perbualan masyarakat.

Para pesara harus diingatkan bahawa seseorang itu akan lebih bermasalah jika tiada pekerjaan daripada tiada wang untuk berbelanja. Secara fitrah, manusia bersosial dan berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu kita dapati aktiviti berinteraksi sesama manusia akan menjadikan kita semakin sihat.  Orang sakit di hospital juga merasa lega apabila menerima kunjungan tetamu. Mereka beraktiviti sesama rakan yang menjadikan mereka semakin sihat. Hal ini disebabkan pelbagai kemahiran diperolehi jika dibandingkan dengan duduk di rumah tanpa membuat sebarang aktiviti. Justeru, bakal-bakal pesara perlulah mencari aktiviti atau hobi yang disukainya. Jelasnya beraktiviti atau melakukan kerja yang kita suka akan membantu menjaga kesihatan mental dan kehidupan keluarga dengan lebih baik.

Satu perkara lagi yang perlu kita tahu sebelum bersara adalah hubungan keluarga. Kita sangat perlukan sokongan keluarga khasnya isteri atau suami dan anak-anak. Oleh itu, setiap ahli keluarga telah diwar-warkan bahawa pada suatu tarikh tertentu kita akan bersara. Justeru kita sangat memerlukan sokongan mereka. Oleh kerana umur kita sudah banyak, sudah tentu tenaga kita juga berkurangan. Hubungan ini hendaklah diketahui oleh semua ahli keluarga.  Emak dan ayah yang akan bersara tidak sekuat atau bertenaga seperti ketika mereka membesarkan anak-anak. Walaupun kita berusaha menjaga kesihatan, kesakitan juga sering mendatang.  Adakalanya kita dengar orang tua ditimpa kemalangan kerana jatuh tangga atau jatuh dalam tandas.  Dalam keadaan beginilah, kita sangat perlukan kepada bantuan dan sokongan keluarga.  Untuk itu, bakal-bakal pesara hendaklah berkomunikasi dengan baik dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan serta jiran tetangga.

Rumusannya, persediaan untuk memasuki alam persaraan memerlukan emosi yang stabil. Bakal-bakal pesara perlu membuat persediaan awal. Mereka disarankan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan berbakti kepada orang lain. Sesungguhnya, manusia yang baik adalah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.  Apabila bersara kelak, kita dampingkan diri dengan masyarakat serta menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan di masjid atau surau atau aktiviti kemasyarakatan yang lain. Gunakanlah masa yang tersisa untuk menambah ilmu agama, meningkatkan amalan kerohanian serta membantu orang lain. Penulis ingin mengakhiri perbincangan ini dengan puisi berikut:

Bila sampai tempoh masa
Aku bakal menjadi pesara
Namun aku gagahi juga
Mengharungi kehidupan alam ini
Apa yang penting
Aku ingin membawa “bekalan’
Untuk terus berjasa
Dengan penuh ilmu di dada
Dengan pengalaman yang bertimbun
Aku perolehi lebih 30 tahun
Di universiti yang bersejarah ini
Aku ingin terus belajar sepanjang hayat
Aku gagahi jua untuk terus menyumbang
Demi agama. masyarakat dan negara
Dalam sudut hati
Aku ingin mengikut jejak para sahabat
Untuk terus berbakti
Sebelum dipanggil Ilahi.

Oleh,
Prof. Dr. Zuhaimy Ismail
Jabatan Sains Matematik, UTM