Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sedang dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

“Dengan cara ini, semua penuntut akan capai hasil yang hampir sama,” katanya menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu adakah PPSMI akan diperkenal semula, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir berkata pihak Kementerian Pendidikan juga mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris kerana bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa serta diperlukan untuk pengurusan dan perusahaan, selain diambil kira dalam peluang pekerjaan.

“Tidak seperti pelajaran Geografi dan Sejarah, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasanya dibuat dalam bukan bahasa Melayu. Untuk menguasai ilmu yang baharu, kegunaan Bahasa Inggeris menjadi penting,” katanya.

Perdana Menteri berkata terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dan faham ilmu baharu hendak dialih bahasa.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan turut memberikan pandangan mengenai dasar PPSMI itu.

“Ada ramai berkehendak supaya pelajaran Sains dan Matematik dibuat dalam bahasa Inggeris, ada juga yang berkeras untuk terus dalam bahasa Melayu,” katanya.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menekankan penerokaan ilmu baharu termasuk ‘artificial intelligence’ (kecerdasan buatan) yang mampu membawa Malaysia menjadi negara maju.

Namun, beliau berkata ia hanya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Inggeris kerana ilmu berkenaan diteroka oleh mereka berbahasa Inggeris.

“Soal perasaan kebangsaan mungkin mendorong kita untuk mengekalkan bahasa kita, tetapi kalau kita menjadi orang yang tidak berilmu, bangsa kita dan bahasa kita tidak akan berkembang maju,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast