MELAKA – Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Melaka hari ini kecoh seketika apabila berlaku perang mulut antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dengan wakil rakyat pembangkang berhubung isu ‘UMNO mati tinggal hutang’.
Suasana kecoh itu berlaku setelah Norhizam, yang juga Exco Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, memetik peribahasa menyebut ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan UMNO mati meninggalkan hutang.’
Beliau menyebut perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Gue Teck (PKR-Klebang) yang bertanyakan kenapa Kerajaan Negeri mengurangkan elaun bantuan sara hidup kepada nelayan daripada RM300 kepada RM200.
Ucapan perbahasan berkenaan menyebabkan Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) bangun mencelah dan meminta Norhizam menarik balik perkataan itu sebelum mengeluarkan perkataan ‘bodoh’.
Kenyataan Norhizam yang menyebut ‘UMNO mati’ dalam peribahasanya itu mengundang kemarahan pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) dan beberapa ADUN pembangkang lain.
Mereka mendesak supaya Norhizam menarik balik perkataan ‘UMNO mati’ tetapi wakil rakyat DAP itu enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku perang mulut antara beliau dan beberapa ADUN pembangkang.
Sesi soal jawab yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh itu semakin kecoh apabila Idris menggelarkan Norhizam sebagai ‘bodoh’ kerana setiap kali beliau bangkit menjawab soalan, pasti akan berlaku kekecohan.
Norhizam tetap bertegas enggan menarik balik perkataan UMNO mati malah sempat menyindir fizikal Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang bangkit untuk mencelah dengan berkata, ‘kalau hendak bangun biar betul-betul berdiri atas kerusi saya tak nampak,’ sehingga Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar terpaksa menangguhkan sesi persidangan itu selama seminit bagi mententeramkan keadaan. – BERNAMA