KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat.
Ia termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, kementerian itu sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran
Sains dan Matematik dalam kalangan para pelajar supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.
“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan
kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memaklumkan kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem baharu.
PPSMI kali pertama diwujudkan pada tahun 2002.
Sistem baharu yang akan bergantung kepada teknologi maklumat (IT) dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris, yang mana pengajaran yang diajar oleh guru terbaik akan dicatat dan digunakan di semua sekolah.
Dengan penggunaan IT, katanya, kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.- MalaysiaGazette