KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiapkan segera siasatan ke atas aduan kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Negeri Perak.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, Peguam Negara tidak boleh melengah-lengahkan insiden yang membabitkan warganegara dari Indonesia itu jika terdapat bukti.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selalu mendakwa mereka telus dan tidak melindungi sesiapa jika pemimpin mereka terbabit dengan salah laku. Apatah lagi membabitkan kes yang dianggap jenayah berat seperti rogol.
“Kes ini telah mendapat liputan meluas media negara jiran kita Indonesia sejak ianya didedahkan sehingga ke hari ini.
“Kes ini sungguh memalukan negara. Kes profil tinggi seperti ini sewajaranya disegerakan dan tidak boleh biarkan berlanjutan berbulan-bulan tanpa ada pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat oleh seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Isnin lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.
Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Syed Hassan juga berkata, pihaknya ingin mengetahui status siasatan kes terbabit sehingga kini dan sejauh mana ia boleh diselesaikan sehingga pelaku terbabit didakwa di mahkamah.
“Apakah perlu berbulan-bulan siasatan dibuat? Perkasa berharap tiada cubaan untuk lindungi pelaku oleh parti memerintah.
“Rakyat menanti kes ini dan bertanya-tanya, apakah akan ada lagi ahli politik dari PH akan dilindungi atau dilepaskan dari disabitkan kesalahan?
“Pemimpin yang memegang jawatan penting dalam Kerajaan Pusat atau negeri, tolong jaga tingkah laku kamu semua jangan sampai memalukan negara. Dari kes 1MDB hingga ke kes homoseks dan kini kes rogol pula. Memalukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette