KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan minta semua pihak bertenang dan menunggu kenyataan rasmi dari istana berhubung khabar angin perceraian Sultan Muhammad V dengan isterinya, Rihana Oksana Gorbatenko.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam isu peribadi Sultan Kelantan.
“Kita minta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Istana Negeri berhubung isu perceraian Sultan Muhammad V yang heboh diperkatakan sekarang.
“Dalam hal ini, pendirian kerajaan negeri adalah untuk tidak campur tangan dalam isu peribadi baginda,” katanya di Kota Bharu, hari ini.
Semalam, pelbagai medium media dan netizen heboh memperkatakan mengenai perceraian Sultan Kelantan dengan isteri warga Rusia itu.
Menurut Ahmad, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan rasmi dari pejabat sultan kerana skop tugas dengan pejabat Menteri Besar berbeza.
“Timbalan Besar (Datuk Mohd Amar Abdullah) sudah keluar kenyataan mengenai sikap kita. Kita tidak akan campur urusan tersebut,” katanya.
Dalam kenyataannya kepada media semalam, Mohd Amar dilaporkan memberitahu media bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lebih jelas berhubung isu tersebut. – MalaysiaGazette