KUALA LUMPUR – Kajian semula silibus sejarah di sekolah dibuat bagi membolehkan kandungannya menjadi lebih menarik di samping penyampaian oleh guru kepada pelajar tidak membosankan.
Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik berkata, pindaan dan ulangkaji yang dibuat itu tidak membabitkan apa-apa pengguguran silibus dalam subjek berkenaan.
Malah katanya, kajian mengenai pindaannya juga sudah dimulakan sejak 2017 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) menerajui kementerian berkenaan.
“Dia cuma ada silibus yang tidak diajar di tingkatan tiga dan dibawa ke tingkatan empat yang mana pada tahun depan apabila pelajar tingkatan empat masuk, akan mula dengan silibus baru ini.
“Mereka akan lihat apa yang didakwa sebagai dimansuhkan, dihapuskan itu ada sebenarnya pada (subjek sejarah di) tingkatan empat dengan bentuk yang lebih menarik, matang dan segar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan timbul dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa buku teks sejarah tingkatan tiga dipinda membabitkan pemansuhan beberapa bab berkaitan pendudukan Jepun di Malaysia dan ancaman Parti Komunis Malaya serta darurat.
Beliau berkata, rombakan dan kajian subjek ini dilakukan secara berperingkat bermula dengan tingkatan satu dan tahun ini tumpuan kepada tingkatan tiga.
“Jadi ini bukan berlaku pada hari ini selepas saya mengambil alih kementerian. Ia berlaku sejak zaman BN lagi dan ini selaras dengan usaha melihat kandungan dan cara penyampaian subjek sejarah agar tidak menjadi subjek yang membosankan.
“Sebab itu bila saya lihat komen (Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri) Wee Ka Siong, saya tidak pasti sama ada pada waktu itu dia tidak tahu bahawa kementerian sudah melakukanya sejak zaman BN lagi. Mungkin dia boleh rujuk menteri terdahulu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penurunan had usia mengundi mungkin membuka jalan parti politik memasuki sekolah, Maszlee berkata, sekolah terikat dengan pekeliling dan digazetkan sebagai tempat pendidikan bukan untuk berpolitik.
“Pelajar yang di bawah 18 tahun berlaku di luar sekolah. Di sekolah kita mendidik rakyat dengan kesedaran demokrasi, perlembagaan dan hak mereka. Itulah peranan sekolah untuk mendidik rakyat,” katanya.
Beliau berkata, di sekolah juga ada subjek yang diajar berkaitan politik seperti sejarah dan pendidikan sivik. – MalaysiaGazette