KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan kononnya Perlis menganjurkan solat sunat gerhana bulan Rabu lalu untuk menyembah bulan.
Beliau berkata, solat sunat gerhana bulan itu bukan bermakna menyembah bulan tetapi melakukan seperti apa yang pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW sebagai mengagumi kekuasaan Allah SWT.
“Solat sunat gerhana bulan dan matahari sudah sekian lama dilakukan umat Islam sebagai ikutan sunnah Nabi Muhammad.
“Kalau tidak tahu sesuatu lebih baik diam daripada membuat tuduhan tidak menentu sedangkan solat sunat yang dibuat ketika berlaku gerhana bulan pada 4.01 pagi 17 Julai lalu adalah untuk mengajak rakyat Perlis beramai-ramai solat sunat gerhana,” katanya dalam kuliah mingguan beliau di Masjid Alwi, Kangar, Perlis malam tadi.
Perlis menganjurkan solat itu secara serentak di 15 masjid di seluruh negeri diikuti bacaan khutbah khas mengenai gerhana bulan oleh imam jemputan.
Asri berkata, tohmahan sedemikian pernah dilemparkan mereka yang memperlekehkan Pejabat Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ketika menganjurkan solat jemaah beramai-ramai minta diturunkan hujan beberapa tahun lalu.
Program itu diadakan di perkarangan Istana Arau tetapi ada pihak yang tidak faham bertanya kenapa solat dilakukan di atas padang sedangkan di Perlis terdapat banyak masjid. – MalaysiaGazette