KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengalu-alukan koperasi yang membeli dan memasarkan produk muslim agar bersatu untuk menjadi koperasi yang kuat dan teguh.
Pengarahnya, Amran Abd. Kadir berkata, jika semua koperasi berkenaan bersatu, mereka dapat menandingi pasar raya besar yang menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, sudah menjadi tabiat masyarakat akan mengunjungi pasar raya untuk membeli pelbagai produk sehingga kuasa beli mereka mencecah bilion ringgit setiap bulan.
“Padahal produk yang mereka beli itu sama seperti produk keluaran muslim yang lagi halal, tetapi kerana koperasi kita kecil, ia tidak menarik minat orang ramai.
“Oleh itu, saya seru mana-mana koperasi yang berasaskan produk muslim, bersatu dan menyediakan rangkaian pasar raya khusus memasarkan produk halal keluaran usahawan muslim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kempen Membeli Produk Muslim dan Menandatangani Perjanjian (MoU) antara Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal) dengan Pertubuhan Pengerak Ummah (Ummah) dan Abata di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Amran, SKM sentiasa memberi sokongan kepada koperasi yang mempunyai daya usaha untuk memaju dan meningkatkan jualan kerana keuntungan yang besar diperolehi mereka dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli.
Kata beliau, jika jualan koperasi itu maju dan mencecah jutaan ringgit setiap bulan, keuntungannya dapat dirasai oleh ahli serta pemegang saham, selain zakat yang dikeluarkan dapat membantu meringankan beban masyarakat Islam.
“Di negara ini ada kira-kira 4 juta pembeli muslim, jika tiap seorang membelanjakan sekurang-kurangnya RM1, koperasi dapat mengumpul RM4 juta sehari.
“Jika dikira sebulan dan setahun, nescaya koperasi berasaskan produk muslim boleh menyaingi pasar raya bukan muslim.
“Saya bercakap ini bukan berbaur rasis, jangan nanti media salah anggap. Ini adalah rangsangan dari saya kepada koperasi berkenaan supaya dapat meningkatkan promosi bagi melariskan jualan,” katanya.
Beliau turut menyarankan ahli koperasi dan usahawan muslim merebut peluiang memasar dan menjual produk masing-masing menerusi atas talian.
Katanya, jualan melalui atas talian ketika ini mendapat sambutan menggalakkan dan ada usahawan muslim memperoleh pendapatan lumayan hasil usaha itu.
“SKM bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia supaya menjadikan setiap koperasi di seluruh negara sebagai agen pos laju.
“Kita ada di mana-mana kawasan dan ceruk kampung, mereka akan menjadi tumpuan usahawan atas talian menggunakan perkhidmatan itu agar produk mereka sampai kepada pelanggan.
“Kami sedang mengatur perjumpaan ini dan jika menampakkan kejayaan, semua koperasi akan menjadi agen pos laju,” katanya. – MalaysiaGazette