Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menguji Peluru berpandu Sea Skua dan Exocet menerusi Eksesais Kerismas iaitu intra TLDM terbesar.

Ia merupakan Eksesais Kerismas yang pertama dalam tempoh 14 tahun.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd Sani berkata, walaupun telah sekian lama TLDM tidak melaksanakan eksesais utama itu, kejayaan ujian peluru berpandu tersebut membuktikan kesiagaan dan keupayaan Armada TLDM masih berada di tahap tertinggi.

“Objektif Eksesais Kerismas atau latihan intra-TLDM melibatkan dua peluru berpandu itu bertujuan untuk menguji tahap kesiagaan armada meliputi seluruh aspek operasi mahupun taktikal.

“Latihan ini hampir 14 tahun sejak 2005 tidak dilakukan. Bagaimanapun tahun ini pucuk pimpinan TLDM berubah dan perlunya kembalikan semua eksesais Kerismas serta keberkesanan armada di Timur dan Barat dalam sesi latihan bermula 1 hingga 18 Julai lalu.

“Sebagai kemuncak Eksesais Kerismas 2019, Eksesais bernama Taming Sari 19/2019 menguji keupayaan dua jenis peluru berpandu itu iaitu penembakan Peluru Berpandu Exocet MM40 Block II dari Kapal KD KASTURI dan Sea Skua dari Pesawat Super Lynx.

“Kedua-dua penembakan berjaya dilancarkan di perairan Laut China Selatan pada 16 Julai lalu dan mengenai sasaran,” katanya dalam sidang Perjumpaan Panglima Tentera Laut bersama Media sempena Penembakan Peluru Berpandu Exocet dan SEA Skua Taming Sari 19/2019 di Wima Pertahanan pagi tadi.

Bagi misi ini sebanyak 12 buah kapal, sebuah kapal selam, empat buah helikopter milik TLDM.

Sebanyak empat buah pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan sebuah kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia turut terlibat dalam eksasais tersebut.

Latihan tembakan peluru berpandu Exocet dilaksanakan pada jarak 25 batu nautika bersamaan 46.3 kilometer manakala Sea Skua dilaksanakan pada jarak 8 batu nautika daripada sasaran.

Katanya Exocet MM40 Block II berada dalam inventori atau perkhidmatan sejak 1996 manakala Sea Skua pula dberada alam inventori sejak 2001.

Tambahnya, walaupun begitu lama dalam inventori dan baru diuji, tahap penyelenggaraan terbaik yang dilakukan oleh warga TLDM memastikan kedua-dua sistem peluru berpandu itu berfungsi dengan baik dan bersiaga menghadapi sebarang ancaman.

Justeru katanya, KD Kasthuri walaupun sudah berusia 35 tahun sejak ditauliahkan pada 15 Ogos 1984, namun kapal itu membuktikan ia masih mampu melancarkan peluru berpandu dan begitu juga dengan pesawat Super Lynx sudah berkhidmat selama 15 tahun.

“Ia juga penting bagi membuktikan keupayaan sebenar kuasa tempur TLDM kepada masyarakat umum dan negara serantau selain menunjukkan pelaburan rakyat terhadap pembelian aset ketenteraankhususnnya TLDM bukanlah sia-sia tetapi demi kesejahteraan dan keamanan rakyat.

“Malah kejayaan penembakan ini juga membuktikan tahap kecekapan warga TLDM dalam memastikan kesiagaan peralatan dan sistem persenjataan terutama sistem pertempuran kapal sentiasa berada di tahap tinggi dan siap sedia digunakan bila bila masa.

“Warga TLDM juga berupaya mengendalikan dan penyelenggara sistem persenjataan yang canggih tanpa bantuan kontraktor luar negara,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette