Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-43 hari ini diteruskan lagi dengan bekas pegawai bank yang mengendalikan akaun AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bbekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, yang merupakan saksi ke-54 ini, sudah memberikan keterangan kepada kedua-dua pihak, pendakwa dan bela sejak dua hari lepas.

Semalam, Joanna juga mendedahkan dirinya ‘terpaksa’ meletakkan jawatan di Ambank pada 2015 kerana bank tersebut didenda RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) susulan kegagalan untuk memfailkan laporan transaksi yang mencurigakan.

Jelas Joanna, rakan sekerjanya, Daniel Lee dan Krystle Yap, turut meletak jawatan daripada AmBank selepas kejadian berkenaan.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan bahawa BNM mengenakan denda ke atas bank itu pada 23 Nov 2015 kerana kegagalannya melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun Najib.

Dalam pada itu, Joanna yang diasak oleh peguam bela, Harvinderjit Singh tentang hubungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan dirinya, selain bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling.

Joanna mengakui ada transaksi dilakukan atas ‘arahan’ oleh Jho Low melalui Su Ling.

Dalam pada itu, Harvinderjit ditegur oleh peguam Datuk V Sithambaram yang menganggapnya agresif namun kemudian wujud perbalahan mulut antara mereka berdua

Harvinderjit kemudian menyoal sama ada Joanna menerima dokumen daripada Jho Low berhubung pemindahan wang dalam akaun berkenaan.

Joanna yang cuba memberikan penjelasan lanjut berhubung persoalan itu tetapi disampuk Harvinderjit menyebabkan Sithambaram bangkit

Sithambaram: Ini soalan yang perlu dijawab saksi. Mengapa anda tidak beri peluang? Kena beri dia peluang untuk beri penjelasan.

Harvinderjit: Mengapa kamu bersikap remeh

Sithambaram: Kasihan sungguh.

Harvinderjit: Apa? Apa kamu cakap?

Sithambaram: Saya kata kasihan sungguh.

Sebelum isu itu menjadi lebih serius, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mencelah dan menegur SIthambaram kerana menggunakan perkataan seumpama itu.

Mohd Nazlan: Saya minta untuk anda elak daripada menggunakan perkataan menggambarkan sebegitu.

Sithambaram: Minta maaf, Yang Arif.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed juga sebelum itu telah bangkit membantah cara digunakan Harvinderjit ketika menyoal saksi yang dilihat agak agresif dan memohon supaya peguam itu lebih bersikap lembut dan sabar.

Perbicaraan bersambung sekitar 9.25 pagi ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast