TOKYO- Nissan Motor Co. Ltd. merancang untuk membuang lagi lebih 10,000 kakitangannya dalam usaha memulihkan perniagaan syarikat itu, demikian menurut sumber yang mengetahui pelan tersebut.

Rancangan itu sekali gus menunjukkan syarikat yang sedang menghadapi pergolakan pengurusan itu terpaksa memilih jalan yang sukar.

Pengurangan pekerja sebanyak 4,800 di seluruh dunia telah diumumkan pada Mei lalu, melibatkan hampir semua kilang-kilang di luar negara yang mempunyai kadar penggunaan  rendah.

Pelan seterusnya akan diumumkan esok ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat, kata sumber yang enggan dinamakan itu.

Nissan bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Pengurangan pekerja yang mewakili tujuh peratus daripada keseluruhan 138,000 kakitangan syarikat itu menunjukkan masalah berterusan yang terpaksa dihadapi oleh Ketua Eksekutifnya, Hiroto Saikawa selepas bekas Pengerusi syarikat sekutunya, Renault SA, Carlos Ghosn ditahan atas dakwaan salah guna kewangan.

Ghosn bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Pada Mei, Nissan mengunjurkan 28 peratus keuntungan operasi syarikat tersebut akan jatuh, menokok kepada kemerosotan 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ini menjadikan perolehan syarikat pengeluar kereta itu terendah dalam tempoh 11 tahun.- MalaysiaGazette