Mamadou Sakho saman WADA menuntut pampasan 13 juta pound disebabkan penggantungan tidak adil menjejaskan kariernya bersama Liverpool. Foto: Sebastian Frej/MB Media/Getty Images

LIVERPOOL – Mamadou Sakho memulakan saman malu tuntutan berjumlah £13 juta pound terhadap Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA) hari ini.

Bintang Liverpool itu mendakwa ujian doping dadah oleh agensi tersebut ke atas beliau memusnahkan kariernya di Anfield.

Sakho, 29, digantung daripada terlibat dalam sukan bola sepak pada April 2016 selepas didapati positif mengambil dadah jenis pembakar lemak ketika aksi Liga Eropah menentang Manchester United.

Penggantungan selama 30 hari mengakibatkan bintang antarabangsa Perancis itu dilarang beraksi dalam perlawanan akhir Liga Eropah yang menyaksikan Liverpool tewas kepada Sevilla.

Sakho mendakwa tindakan WADA juga telah menghalang peluangnya mewakili skuad kebangsaan pada Euro 2016 semasa memfailkan saman di Mahkamah Tinggi London.

Sakho bagaimanapun bebas dari sebarang siasatan prosiding disiplin Uefa selepas mendapati suplimen yang diambil pemain itu tidak termasuk dalam senarai larangan WADA.

Pemain pertahanan Crystal Palace itu kini menyaman WADA bagi menuntut ganti rugi sebanyak £13 juta.

Peguambelanya mengemukakan hujah bahawa pendapatannya sebagai pemain dan juga jenama peribadinya berkurangan selepas berhijrah dari Liverpool berikutan larangan itu.

Namun WADA menafikan bertanggungjawab terhadap perpindahan pemain itu dari Liverpool.

WADA mendakwa, realiti masalah yang dihadapi Sakho disebabkan oleh isu disiplin dan masalah peribadi dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, peguambela menjelaskan kepada kakim Victoria McCloud bahawa penggantungan anak guamnya pada 2016 menjejaskan pendapatannya.

Tindakan WADA didakwa mengakibatkan Sakho terlepas peluang mewakili pasukan kebangsaan ke kejohanan Europah, menanggung hutang bayaran kepada peguam dan saintis, sekali gus menamatkan kariernya sehingga memaksa berhijrah ke Crystal Palace, kata peguambela Stuart Ritchie QC.

Mahkamah juga dimaklumkan ujian air kencing Sakho positif kerana pengambilan dadah terlarang dalam suplimen makanan diet pada Mac 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast