Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan sepenuhnya butiran perbincangan dengan rombongan kepimpinan DAP baru-baru ini yang dikatakan ada kaitan permohonan kerakyatan.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, perjumpaan dan perbincangan itu tidak wajar diadakan secara tertutup kerana menimbulkan banyak keraguan di kalangan rakyat.

Tegas beliau, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu bertegas dengan perkara itu dan menolak sebarang tuntutan yang membelakangkan peraturan negara.

“Pas memandang serius beberapa tindakan berkaitan isu kewarganegaraan yang dibuat oleh Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng baru-baru ini.

“Sejak ditubuhkan pada 1951 hingga sekarang, Pas sentiasa komited dan memandang serius isu kewarganegaraan sebagaimana ketetapan Muktamar Tahunan Pas pada 1955 dan 1956,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan enam Ahli Parlimen DAP termasuk dua menteri dan dua timbalan menteri mengadakan pertemuan tertutup dengan Muhyiddin bagi membincangkan isu melibatkan kewarganegaraan.

Dua menteri terbabit ialah Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), dan M. Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia), dua timbalan menteri ialah Hannah Yeoh (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), dan Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Pendidikan), manakala dua Ahli Parlimen yang turut serta ialah Ngeh Koo Ham (Beruas) dan Alice (Lanang).

Sehari selepas pertemuan itu, Alice dalam akaun Facebook miliknya berkongsi sekeping gambar pertemuan mereka bersama Muhyiddin dan mengatakan mesyuarat yang membincangkan isu berhubung kanak-kanak tanpa warganegara serta kewarganegaraan itu membuahkan hasil.

Serentak itu, jelas Kamaruzaman, Pas meminta diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya ada usaha kotor oleh mana-mana pihak dalam memberikan kerakyatan melalui saluran dan proses yang melanggar peraturan negara.

“Jika tiada agenda tersembunyi kenapa hanya pemimpin DAP sahaja yang hadir, ini sudah tentu meragukan kerana agenda ini sewajarnya dibincangkan secara terbuka dengan dianggotai semua kaum.

“Pendedahan ini juga menggambarkan seolah wujud cubaan oleh DAP untuk memberikan kerakyatan melalui proses yang membelakangkan undang-undang negara dan bersifat terpilih.

“Ini menimbulkan kebimbangan betapa hak rakyat negara ini terancam oleh pemberian kerakyatan secara rundingan tertutup dan bersifat terpilih,” katanya.

Katanya, Pas merasa sangsi dengan perkembangan itu dan penjelasan segera perlu diberikan kerana ia melibatkan masa depan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette