Norul Haszarul Abu Samah

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Johor dan Ketua Armada Labis mendakwa digantung jawatan.

Norul Haszarul Abu Samah berkata, penggantunhan kedua-dua jawatannya dibuat ekoran sokongannya terhadap keputusan kerajaan negeri Johor berhubung had usia belia sebelum ini.

Tindakan tersebut menurutnya membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya Armada yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal menumpukan perhatian kepada agenda rakyat.

“Parti yang saya sertai sejak awal penubuhan kini seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi terbuka dan peka terhadap pandangan rakyat.

“Saya tidak sanggup lagi untuk terus berdiam diri ketika halatuju Armada Bersatu tidak lagi menumpukan kepada agenda rakyat dan memenuhi janji manifesto pilihanraya, sebaliknya sentiasa termotivasi untuk mewujudkan perbalahan dengan beberapa pihak terutama pihak Istana Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang menerima keputusan itu secara terbuka turut mendedahkan Syed Saddiq selaku Ketua Armada sering mencetuskan masalah dengan Istana Johor.

“Sebagai orang Melayu dan anak jati Johor, saya juga tidak sanggup lagi berbalah dengan pihak Istana Johor lantaran sikap Ketua Armada Nasional yang sering mencetuskan masalah dengan Istana Johor,” tambahnya.

Pada 12 Julai yang lalu, Norul Haszarul menyokong keputusan kerajaan negeri itu dalam mengekalkan had umur maksimum belia kepada 40 tahun.

Haszarul menjelaskan, rakyat Johor mempunyai citra tersendiri dalam menentukan hala tuju dan tidak perlu mengikut budaya dan kaedah pihak lain.

Beliau juga sebelum ini menyifatkan tindakan membentangkan Menteri Belia dan Sukan rang undang-undang (RUU) untuk mendefinisikan semula istilah ‘belia’ sebagai golongan berumur di bawah 30 tahun melalui pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 sebagai terburu-buru.-MalaysiaGazette